​​​​​​​​

Memory Walk : Berjalan untuk Menyebarkan Kesedaran.

20250921_UPAKKBS-81.jpg


Sumber : Siaran Akhbar Demensia Brunei

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS



Jerudong, Ahad, 21 September 2025 — September merupakan Bulan Alzheimer Sedunia, iaitu satu kempen antarabangsa yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai demensia serta mencabar stigma yang berkaitan dengannya. Setiap tahun, Persatuan Demensia Brunei bersama pihak-pihak berkepentingan dalam bidang rawatan, penjagaan dan sokongan kepada individu yang hidup dengan demensia dari seluruh dunia berganding bahu untuk menganjurkan pelbagai acara advokasi dan penyampaian maklumat, termasuklah acara tahunan Memory Walk.


Lebih seratus peserta berganding bahu dalam satu acara berjalan kaki yang membawa mesej penting kepada berjuta-juta keluarga di seluruh dunia: kesedaran mengenai penyakit Alzheimer. Memory Walk ini dianjurkan oleh Persatuan Demensia Brunei dengan kerjasama Makan Ceria Sdn Bhd dan Jerudong Park Country Club Sdn Bhd, serta disokong oleh D’Sunlit Sdn Bhd. Acara berlangsung di Jerudong Park Colonade sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap mereka yang hidup dengan Alzheimer dan demensia lain, termasuk para penjaga mereka.


Majlis disempurnakan oleh Yang Mulia Dr Siti Norkhalbi binti Hj Wahselfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir ialah Haji Mohammad Munir Syafiq bin Dato Paduka Awang Haji Metassan, Timbalan Pengurus Besar Makan Ceria Sdn Bhd, dan Hajah Siti Norzalena binti Pehin Orang Kaya Lela Raja Dato Seri Laila Jasa Haji Awang Abdul Rahman, Pengurus Besar Jerudong Park Country Club Sdn Bhd, bersama pegawai kanan masing-masing serta ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dari Daerah Brunei Muara, Tutong dan Temburong.


Antara objektif utama penganjuran acara ini ialah untuk meningkatkan kesedaran mengenai demensia dan penyakit Alzheimer serta kesannya terhadap individu, keluarga dan masyarakat; memberi sokongan kepada mereka yang hidup dengan Alzheimer dan demensia lain serta penjaga mereka; dan menggalakkan langkah pencegahan, pengesanan awal serta diagnosis yang tepat.


Acara ini juga merupakan seruan kepada masyarakat untuk bertindak, memandangkan demensia bukanlah sebahagian normal daripada proses penuaan. Orang ramai disarankan agar mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risiko, antaranya: kekal aktif secara fizikal, mengamalkan pemakanan sihat, mengawal tekanan darah, diabetes dan penyakit jantung, sentiasa mengasah minda, kekal aktif secara mental serta mengekalkan hubungan sosial yang sihat.​


20250921_UPAKKBS-39.jpg  20250921_UPAKKBS-52.jpg 20250921_UPAKKBS-87.jpg 20250921_UPAKKBS-149.jpg





​​​​