.jpg)
Sumber : Siaran Akhbar dan Foto PSB
Bandar Seri Begawan, Selasa, 9 September 2025 – Pusat Sejarah Brunei melalui Bahagian Perpustakaan dan Pembelajaran buat pertama kalinya menganjurkan Program Mini Karnival Perpustakaan : Simposium Perpustakaan dan Pameran dengan tema “Melestarikan Khazanah Sejarah, Menjana Ilmu Masa Depan." Program ini diadakan adalah sebagai salah satu inisiatif Pusat Sejarah Brunei bagi mempromosi dan memperkenalkan peranan perpustakaan bagi menyokong pembelajaran, penyelidikan, inovasi dalam kalangan pengguna serta memupuk budaya membaca para belia dan generasi sekarang dan masa akan datang. Majlis Perasmian Mini Karnival Perpustakaan: Simposium Perpustakaan dan Pameran ini telah diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan James Pearce, Bandar Seri Begawan.
Yang Mulia Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh, Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei dalam Kata Alu-aluan semasa majlis perasmian tersebut menyatakan bahawa mini karnival tersebut julung-julung kali dianjurkan oleh Pusat Sejarah Brunei melalui Bahagian Perpustakaan dan Pembelajaran. Mini karnival ini merupakan salah satu usaha yang bermakna untuk menghargai serta mengangkat peranan perpustakaan sebagai pusat penyelidikan, penyimpanan khazanah warisan bangsa, dan sumber ilmu yang sentiasa relevan untuk generasi kini dan akan datang.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Mini Karnival tersebut ialah Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfellah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Turut hadir di Majlis Perasmian tersebut ialah Yang Mulia Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei yang juga menyampaikan ucaptama. Beliau antara lain menyentuh tentang huraian tema mini karnival iaitu “Melestarikan Khazanah Sejarah: Menjana Ilmu Masa Depan." Huraian makna tema Mini Karnival ini ialah merujuk kepada usaha menjaga, memelihara dan mengurus koleksi sejarah negara secara teratur, saintifik dan bersistematik. Kepentingan melestarikan khazanah sejarah ini juga adalah untuk memastikan kesinambungan identiti nasional, menyediakan sumber rujukan autentik bagi penyelidikan akademik, yang seterusnya menyumbang kepada ilmu pengetahuan global, dan khazanah sejarah. Di samping memainkan peranan dalam pembangunan negara kerana ia menjadi asas kepada pembentukan dasar awam dan penggubalan undang-undang. Sementara itu, “Menjana Ilmu Masa Depan" pula menekankan kepada aspek menjana ilmu masa depan iaitu sejarah yang dipelihara tidak boleh sekadar menjadi nostalgia lampau, tetapi harus dimanfaatkan untuk mencorak hala tuju masa depan bangsa.
Perpustakaan Pusat Sejarah Brunei adalah sebuah perpustakaan khusus yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan, pemeliharaan dan penyebaran maklumat sejarah negarabangsa. Tujuan perpustakaan ini ditubuhkan adalah menyokong usaha pengumpulan data sejarah dan sumber kajian sejarah Brunei yang berharga.
Orang ramai dialu-alukan berkunjung ke Pusat Sejarah Brunei sepanjang Mini Karnival Perpustakaan ini berlangsung.
Hari / Tarikh | Pukul |
Selasa - Rabu 9-10 September 2025 | 8.30 pagi - 4.00 petang |
Khamis 11 September 2025 | 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari |
.jpg)
.jpg)