.jpeg)
.jpeg)
Sumber: KKBS
Foto: KKBS
BALI, REPUBLIK INDONESIA, Jumaat, 12 Rabiulawal 1447 / 5 September 2025 - Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menghadiri Sidang Kemuncak CHANDI dengan tema “Culture for the Future" yang dihoskan oleh Republik Indonesia. Sidang Kemuncak CHANDI telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Pratikno, Menteri Koordinasi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Republik Indonesia manakala Mesyuarat Sidang Kemuncak yang dihadiri oleh 44 buah negara-negara antarabangsa termasuk Negara Brunei Darussalam telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Dr. Fadli Zon, Menteri Kebudayaan Republik Indonesia.
Sidang Kemuncak CHANDI 2025 merupakan satu platform perbincangan yang mengumpulkan negara-negara antarabangsa dengan memfokuskan enam (6) teras utama iaitu Budaya, Warisan, Kesenian, Naratif, Diplomasi dan Inovasi ke arah menangani cabaran global.
Yang Berhormat Dato dalam ucapannya menekankan bahawa budaya bukan sekadar pelengkap kepada pembangunan, tetapi merupakan aset dan asas utama dalam mencapai keamanan, kemampanan dan identiti kebangsaan. Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa di peringkat kebangsaan, budaya telah diintegrasikan ke dalam Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Strategik di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang memberikan keutamaan kepada pembangunan industri budaya dan kreatif, pengukuhan warisan, pendigitalan aset budaya dan penglibatan belia. Di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam berbangga menyertai bersama-sama negara Malaysia, Singapura, Republik Indonesia dan Thailand dalam pengiktirafan pencalonan Kebaya di bawah kategori Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO. CHANDI 2025 turut membuka lebih banyak peluang bagi inisiatif seumpamanya dalam bidang kebudayaan dan kesenian, khususnya dalam memajukan industry budaya dan kreatif.
Para negara peserta seterusnya mengesahkan Bali Cultural Initiative Declaration 2025: "Culture for the Future" yang mengisytiharkan komitmen bersama dalam mempromosikan kepelbagaian budaya, menjaga warisan, dan memajukan diplomasi budaya sebagai cara untuk mencapai pembangunan global yang mampan dan inklusif.
Turut menyertai rombongan delegasi Yang Berhormat Dato adalah Yang Mulia Dr.Siti Norkhalbi binti Haji Walsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan beberapa pegawai-pegawai kanan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.