
Sumber : Pelita Brunei
Berita : Khartini Hamir - Penerangan
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS, Mastinah - PSB
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 September. - Majlis Dikir Maulud sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Istana Nurul Iman diteruskan lagi bagi malam ke-11, malam tadi bertempat di Surau Istana Nurul Iman bersama pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Hadir pada majlis berkenaan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Turut serta dalam majlis di bahagian lelaki ialah pegawai-pegawai dari KKBS, Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Daerah Tutong, Kumpulan Belia Masjid Omar 'Ali Saifuddien, dan warga Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipimpin oleh mahasiswa KUPU SB, Awang Mohammad Syahrolldennie bin Juni.
Seterusnya, tazkirah agama bertajuk 'Menghayati Sunnah Rasulullah' disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.
Persembahan dikir dimulakan dengan Dikir Assalamualaika dan Asyraqal, diikuti Dikir Khairuman, Bisyahrin, Al-Hamdu serta Badat.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, majlis seumpamanya turut berlangsung di Surau Perempuan Istana Nurul Iman yang dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari serta warga wanita KKBS, Pertubuhan WARGAMAS, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara dan warga KUPU SB.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipimpin oleh mahasiswi KUPU SB, Dayang Norliza binti Abd. Jalil, manakala ceramah agama bertajuk 'Dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Secara Rahsia' disampaikan oleh Dayang Roswati binti Zainal dari PDI.

