​​​​​​​​

IN:Stall @YDC CoffeeBiz 2025

20250829-cofeebiz-25.JPG



Sumber: Siaran Media KKBS

Foto : Muhd Azinuddin - KKBS


Bandar Seri Begawan, 29 Ogos 2025 – Bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali ke-20, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pembangunan Belia, dengan kerjasama Futurebrands dan Vigorous Event Management, telah menganjurkan acara IN:Stall @YDC CoffeeBiz 2025. Acara ini akan berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos 2025, bertempat di Hab Sukan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, bermula jam 3.00 petang hingga 10.00 malam.

 

Majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Bertemakan “Brewing Youth Entrepreneurship", acara ini menghimpunkan sebanyak 35 reruai kopi dan matcha di Negara Brunei Darussalam yang merupakan manifestasi nyata komitmen negara menyediakan platform dalam memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang inklusif dan berdaya saing.

 

IN:Stall @YDC CoffeeBiz 2025 bukan sahaja meraikan budaya kopi yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat, malah berperanan sebagai platform strategik untuk membina komuniti usahawan belia yang berdaya tahan dan berdaya saing dari kalangan komuniti pengusaha kopi.

 

Usaha ini juga selaras dengan hasrat murni dan aspirasi Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan generasi belia yang mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan sosio-ekonomi negara. Acara ini turut menampilkan aktiviti seperti Brew Talks, Latte Art Challenge, dan pameran teknologi berkaitan industri kopi, yang bukan sahaja meraikan kreativiti belia tetapi juga memperkukuh sinergi antara belia, industri dan kerajaan.

 

Dengan sokongan padu daripada pelbagai rakan kolaborasi serta sambutan positif masyarakat, IN:Stall @YDC CoffeeBiz 2025 diyakini menjadi penanda aras penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan belia di Negara Brunei Darussalam melalui Pendekatan Senegara ke arah mencapai matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.


20250829-cofeebiz-8.JPG 20250829-cofeebiz-43.JPG 

 


​​​​