Sumber : Pelita Brunei
Berita dan Foto : Ak Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan - Penerangan
TUTONG, Ahad, 31 Ogos. - Kejohanan Dart Beregu Lelaki Terbuka Borneo 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Persatuan Dart Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) serta disokong oleh Imagine Sdn. Bhd. (Imagine), bertempat di Dewan Seri Kenangan dan Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong melabuhkan tirainya pada hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perlawanan akhir dan penyampaian hadiah ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan yang seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Sebanyak 107 pasukan telah menyertai kejohanan berkenaan termasuk 13 pasukan dari Sabah dan Sarawak. Penyertaan merangkumi pelbagai peringkat kemahiran, daripada pemain amatur hingga profesional, sekali gus menjadikan kejohanan ini sebagai platform pembangunan bakat serta pengiktirafan kepada pemain tempatan dalam arena sukan dart serantau.
Pasukan D Amazing KBT Silent Killer telah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak BND5,000 yang merupakan jumlah terbesar setakat ini bagi kejohanan dart peringkat serantau, berserta piala dan pingat.
Sementara itu, pasukan KGA Mission.Com pula muncul sebagai naib juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai BND3,000 berserta piala dan pingat.
Manakala, tempat ketiga bersama dimenangi oleh pasukan D Amazing KTB Koi Fish dan SJA 'A' Lawas dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai BND1,000 berserta piala dan pingat.
Penganjuran kejohanan ini antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain dart di NBD, di samping memperkenalkan sukan dart ke arah yang lebih tersusun, berdisiplin serta profesional. Ia juga dihasratkan dapat memajukan perkembangan sukan dart di negara ini serta menarik minat pelancong dan pemain luar negara, khususnya dari rantau Borneo.
Selain itu, kejohanan ini turut memberi peluang untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan bagi pengunjung dari dalam dan luar negara.
Bagi memeriahkan suasana, acara turut diserikan dengan penyertaan gerai makanan dan minuman (F&B booths) serta 'food truck' yang menawarkan pelbagai pilihan hidangan kepada para pengunjung sepanjang kejohanan berlangsung.
Dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, kejohanan telah berlangsung dengan jayanya serta diyakini memberikan impak positif kepada pembangunan sukan, khususnya sukan dart di NBD.
Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir dan majlis penyampaian hadiah pada malam tadi ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri; Naib Presiden Kanan Imagine, Awang Haji Mohd. Radziman bin Haji Abdul Rahman; Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Daerah Tutong serta jemputan khas.