
Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 06 Rabiulawal 1447 / 29 Ogos 2025 - Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial Kali ke-12 yang berlangsung secara persidangan video pada 29 Ogos 2025 dengan tema “Memperkukuh Perlindungan Sosial yang Responsif bagi Golongan Rentan dalam Komuniti ASEAN". Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Mulia Dr Soe Win, Union Minister, Ministry of Social Welfare, Relief and Resettlement, Republic of the Union of Myanmar dan telah dihadiri oleh Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam kebajikan dan pembangunan sosial bersama Timbalan Setiausaha Agung ASEAN.
Menteri-menteri telah megesahkan Kenyataan Bersama dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial Kali ke-12 (12th AMMSWD). Antara lain, para menteri-menteri telah menyambut baik pelancaran ASEAN Vision 2045: Our Shared Future, yang bertujuan merealisasikan ASEAN berteraskan rakyat menjelang 2045. Menteri-menteri bersetuju untuk menyokong bersama usaha ASEAN dalam meningkatkan perlindungan sosial yang responsif dan adaptif untuk mengukuhkan kedayatahanan dan kesejahteraan golongan rentan melalui dasar dan program-program inklusif menyeluruh semua sektor dan tahap tadbir urus bagi memastikan tiada siapa yang tercicir.
Dalam kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam terus memperkasa agenda perlindungan sosial dan pembangunan yang berlandaskan Brunei Darussalam Social Blueprint serta selaras dengan Wawasan Brunei 2035. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah Sistem Kebajikan Negara (SKN) secara digital bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian bantuan, pengukuhan institusi keluarga melalui Pelan Tindakan Institusi Keluarga, serta pengemaskinian Child Online Protection Framework bagi menangani risiko baharu seperti cyberbullying dan eksploitasi dalam talian. Yang Berhormat Menteri juga menegaskan semula komitmen Brunei Darussalam dalam memupuk penyertaan inklusif untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), berpandukan Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) dan Akta Orang Kurang Upaya serta memajukan penuaan yang sihat dan berjaya melalui Pelan Tindakan Penuaan Berjaya 2025–2030, yang mencerminkan dedikasi negara 29 Ogos 2025 terhadap perlindungan sosial yang menyeluruh dan berterusan untuk semua lapisan masyarakat.
Antara lain, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial ke-12 juga menandakan penamatan tempoh Pengerusi Brunei Darussalam dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial (SOMSWD) yang telah dipengerusikan oleh Yang Mulia Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dengan peralihan pengerusi kepada Myanmar semasa Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial (SOMSWD) ke-21 pada 27 Ogos 2025.
Mendahului mesyuarat tersebut adalah acara Anugerah Kecemerlangan ASEAN dalam Kebajikan dan Pembangunan Sosial (AOSWADA) yang ke-3, tahun 2025. Majlis Kesejahteraan Kelainan Orang Upaya (MKOKU) telah menerima Anugerah Persatuan Bukan Kerajaan manakala An-Nur Harapan (Uniklearn) menerima Anugerah Sektor Swasta sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka memajukan kesejahteraan sosial dan pembangunan di Negara Brunei Darussalam. Menerusi Anugerah ini, ASEAN mengiktiraf peranan penting pihak bukan kerajaan dalam memajukan perlindungan sosial bagi komuniti rentan.
Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Plus Three mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial Kali ke-8 berlangsung selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial, melibatkan Menteri-Menteri dari China, Jepun, dan Republik Korea. Mesyuarat tersebut menegaskan semula komitmen bersama untuk memperkukuhkan kerjasama ASEAN Plus Three serta mengutamakan peranan pelengkapnya dalam kerangka lebih luas yang diterajui ASEAN.
Turut menghadiri Mesyuarat AMMSWD ke-12 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan ialah Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
