Sumber : Siaran Akhbar DBP
Foto : Muhd Azinuddin - KKBS
Bandar Seri Begawan, Selasa, 12 Muharam 1447/8 Julai 2025 - Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2025 dengan tema “Memperkasakan Bahasa Melayu" berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas pada sebelah petang.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan", bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis turut diserikan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah DBP selaku Pengerusi majlis.
Majlis diteruskan dengan penyampaian Ikrar Bahasa oleh 11 orang pegawai di bawah Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), Program Perantisan i-Ready dan penuntut-penuntut yang menjalani penempatan kerja di jabatan-jabatan kerajaan.
Tetamu Kehormat seterusnya menyampaikan ucapan dan melancarkan Sambutan Bulan Bahasa 2025 serta kegiatan-kegiatan di bawahnya; dan diselajurkan dengan pelancaran lapan buah buku terbaharu terbitan DBP, iaitu Kirana Kasih Rakyat, Kamus Dialek Belait, Daftar Bahasa Melayu-Dialek Belait, Buku Mini Panduan Bahasa Melayu Dialek 7 Puak, Asas Menternak Ayam Kampung, Pemanah Bulan, Jong Batu dan Pesanan.
Majlis diteruskan lagi dengan Bual Bicara “Bahasa Jiwa Bangsa" yang disampaikan oleh tiga orang panel pembicara, iaitu Yang Mulia Dr. Hurul'Ain Nukhbah binti Rabaha, Pegawai Bahasa, DBP; Yang Mulia Dr. Muhammad Najib bin Noorashid, Pensyarah, Universiti Brunei Darussalam (UBD); dan Yang Mulia Dr. Sarah Hanna binti Haji Ahmad Ghazali, Pensyarah, UBD. Bual Bicara ini dipengerusikan oleh Yang Mulia Dayang Masni binti Moktal, Pegawai Bahasa, DBP.
Seterusnya, majlis penyampaian sijil, hadiah dan cenderamata disempurnakan oleh Tetamu Kehormat kepada Panel Bual Bicara, Pelajar Cemerlang Mata Pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat 'O' dan 'A', Tahun 2024; pemenang Peraduan Menterjemah Artikel Riak Bahasa Terbitan DBP; Peraduan Mencipta Pantun Meminang: Bertulis Spontan; Peraduan Penulisan Resensi Buku Puisi; panel-panel hakim peraduan, rakan strategik dan peserta ikrar.
Turut hadir, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Bulan Bahasa 2025, ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award), mantan Pengarah DBP, Duta-duta Bahasa, ketua-ketua persatuan, rakan-rakan strategik, pegawai-pegawai kanan, para penulis serta pencinta bahasa dan sastera.