
Sumber : Siaran Akbar DBP
Foto : Muhd Azinuddin
Bandar Seri Begawan, Isnin, 4 Muharam 1447/30 Jun 2025 - Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman, dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan pada sebelah petang.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Bulan Bahasa 2025, ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya, ketua-ketua persatuan, pegawai-pegawai kanan, para penulis serta para pencinta bahasa dan sastera.
Bacaan Surah Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Awang Faizal bin Janip, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi. Majlis ini merupakan penanda dan pemula acara bagi Sambutan Bulan Bahasa 2025 dan kegiatan sempena Bulan Bahasa yang dirancang sepanjang tahun (Julai 2025 hingga Jun 2026).
Manakala acara kemuncak Sambutan Bulan Bahasa 2025 dengan tema “Memperkasakan Bahasa Melayu" akan berlangsung pada hari Selasa, 12 Muharam 1447 bersamaan 8 Julai 2025 bertempat di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.