
Sumber : Siaran Akhbar JAPEM Foto : Aiman - JAPEM
Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Majlis Belia Brunei (MBB) telah mengadakan Persidangan Kebangsaan Pertama bagi Orang Kelainan Upaya di Brunei Darussalam yang berlangsung selama dua (2) hari dari 10 hingga 11 Jun 2025 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Persidangan ini juga diadakan di bawah Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025. Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan persidangan ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YM Malai @Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah, Presiden Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) yang menggambarkan persidangan ini sebagai sebuah platform untuk membincangkan kekuatan, perkhidmatan dan cabaran yang dihadapi oleh OKU, amalan terbaik antarabangsa, serta peranan negara dalam menyokong keperluan kitaran hidup orang kelainan upaya melalui langkah-langkah dasar. Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Persidangan yang julung kalinya diadakan merupakan detik penting yang mencerminkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan memperkasa OKU. Beliau juga mengetengahkan beberapa pencapaian utama dan usaha berterusan negara untuk memupuk inklusiviti, termasuk:; - Rangka Kerja perlindungan perundangan dan sosial yang menyeluruh di Brunei Darussalam, khususnya melalui Perintah Orang Kelainan Upaya 2021, yang mentakrifkan ketidakupayaan selaras dengan piawaian antarabangsa dan mewajibkan Pendaftaran Kebangsaan Orang Kelainan Upaya, di mana sehingga April 2025, sejumlah 2,724 individu telah didaftarkan; serta Akta Pencen Umur Tua dan Kurang Upaya yangtelah dipinda bagi membolehkan penerima yang layak menerima kedua-dua faedah Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya. Selain itu, pengenalan Elaun Penyedia Penjaga sebanyak BND250 sebulan turut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting penjaga dalam memastikan kesejahteraan OKU.
- Menyediakan peluang pendidikan yang lebih inklusif, di mana Brunei Darussalam telah melancarkan Rangka Kerja Pendidikan Khas pada tahun 2023 bagi memastikan pelajar berkeperluan khas mendapat akses pendidikan berkualiti secara adil, serta memperkenalkan Elaun Pendidikan Khas pada tahun 2024 bagi sekolah-sekolah Pendidikan Khas yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan. Selain itu, Pameran dan Forum Sumber Keperluan Khas yang pertama turut diadakan pada Disember 2024, dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Projek IMPIAN, yang berfungsi sebagai platform sehenti untuk ibu bapa dan penjaga dalam mendapatkan maklumat mengenai laluan pendidikan, latihan kemahiran dan perkhidmatan sokongan di bawah Akta Pendidikan Wajib. Biasiswa, termasuk dalam bidang khusus seperti Tahfiz, kini ditawarkan kepada individu berkeperluan khas sebagai komitmen terhadap pendidikan inklusif
- Usaha mempromosikan lebih banyak peluang pekerjaan, di mana pada tahun 2024, Program Jelajah Kerjaya JobCentre Brunei telah menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan, termasuk jawatan untuk orang kelainan upaya sebagai satu langkah penting ke arah pekerjaan inklusif. Yang Berhormat Dato menyeru tindakan lebih lanjut, dan menggesa para majikan dari semua sektor supaya lebih giat mengadakan lebih daripada program kesedaran dengan menyediakan latihan, menghapuskan halangan dan mewujudkan tempat kerja yang inklusif. Yang Berhormat Dato turut memuji agensi-agensi seperti Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pengangkutan Darat, Tabung Amanah Pekerja dan Jabatan Kerja Raya kerana menunjukkan contoh positif dalam pengambilan OKU serta menyeru agar amalan pengambilan inklusif dijadikan norma.
Kemudian acara diteruskan dengan penyampaian Anugerah OKU Cemerlang kepada YM Dayang Nurul Huda Awang Hj Muhin dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Anugerah OKU Berkhidmat kepada YM Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abd Momin, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan mereka. Turut diadakan ialah penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja, penceramah, dan pemudah cara yang telah menjayakan acara ini. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai Seramai lebih daripada 300 orang dijangka menyertai persidangan ini yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kerajaan yang terlibat dalam pembentukan akta dan dasar, pegawai sumber manusia sektor swasta, tenaga pengajar dari sekolah kerajaan, swasta, pemilik perniagaan, persatuan-persatuan dan perusahaan sosial yang melibatkan OKU. Semasa Majlis Pembukaan, Ucaptama turut disampaikan oleh YM Tuan PT Lim Puay Tiak, selaku Pengerusi ASEAN Disability Forum (ADF) dan Bendahari Kehormat International Disability Alliance (IDA) yang menyampaikan kepentingan peranan ADF sebagai platform advokasi dan penyelarasan bagi organisasi OKU, serta kepentingan penyertaan suara OKU dalam semua keputusan. Kerjasama antara organisasi serantau seperti ADF dan badan antarabangsa seperti IDA adalah penting untuk memperkasakan OKU dan mencapai pembangunan yang inklusif.
Sesi persidangan kemudian diteruskan dengan perbincangan dan perkongsian ilmu mengenai topik-topik yang berkaitan. - Panel Perbincangan 1 yang bertajuk "Pendidikan Berorientasikan Pekerjaan dan Kerjaya" dikendalikan oleh YM Pg Salimatul Sa'ada Pg Saleh dari Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas), Kementerian Pendidikan dengan ahli-ahli berpengalaman YM Dr. Siti Norhedayah Hj Abdul Latif, Penolong Profesor di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, YM Dr. Hjh Mawarni Hj Abdul Hamid, Ketua Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Kementerian Kesihatan dan YM Tuan Rezki Achyana, Pengasas Parakerja dari Indonesia, menampilkan perbincangan mendalam mengenai bagaimana sistem pendidikan dapat diselaraskan dengan keperluan pasaran kerja, terutamanya bagi pelajar berkeperluan khas. Perbincangan ini menyuarakan kepentingan penyelarasan sistem pendidikan dengan keperluan pasaran kerja bagi pelajar berkeperluan khas, serta pendekatan bersepadu antara sektor pendidikan, kesihatan, dan pekerjaan.
- Panel Perbincangan 2 yang bertajuk "Melangkaui Pendidikan: Menangani Isu Semasa bagi OKU Selepas Pendidikan" dikendalikan oleh YM Dayang Nurul Huda Awang Hj Muhin dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan ahli-ahli panel dari pelbagai latar belakang dan kepakaran. Mereka ialah YM Dk Khairah Wadihah binti Pg Hj Zainurin, Pegawai Kerja Sosial, dari Pusat Bahagia, di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat, YM Puan Robin Ann Jones, Pengarah dan Penyelidik Utama di Great Lakes ADA Center, Amerika Syarikat dan YM Tuan PT Lim Puay Tiak, Pengerusi ASEAN Disability Forum danBendahari Kehormat International Disability Alliance. Sesi ini membincangkan cabaran dan penyelesaian bagi OKU pasca pendidikan formal, termasuk latihan vokasional, peluang pekerjaan, dan dasar inklusif.
- Panel Perbincangan 3 mengenai "Amalan Terbaik untuk Pendidikan Inklusif" dikendalikan oleh YM Malai @Sharifah Adila Surya binti Malai Hj. Abdullah, Presiden MKOKU dan ahli-ahli panel terdiri daripada YM Dr. Eddy Fazlin bin Hj Amzan, Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas), Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam, YM Puan Suzie Rush, Ketua Inklusif di International School Brunei (ISB), berkongsi pengalaman YM Puan Liz McCulloch, Ketua Kepelbagaian, Ekuiti dan Inklusi di Jerudong International School Brunei (JIS) dan YM Puan Ku Geok Boon, dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura. Sesi ini mengulas perspektif pakar mengenai amalan terbaik dalam Pendidikan inklusif.
- Panel Perbincangan 4 bertajuk "Merapatkan Jurang Aksesibiliti: Bagaimana Teknologi Membantu dalam Pemerkasaan, Pendidikan dan Pekerjaan OKU" adalah sesi interaktif yang dikendalikan oleh YM Sheikh Mohamed Izzat bin Sheikh Hj Khalid, Ahli Brunei Darussalam National Association of the Blind (BDNAB) dan Pegawai Pelajaran Unit Sensori Penglihatan JPKhas. Ahli panel pula YM Tuan Wong Yoon Loong, Pengarah Eksekutif, National Council for the Blind, Malaysia dan YM Puan Robin Ann Jones, Pengarah dan Ketua Penyelidik Utama, Great Lakes American with Disabilities Act Centre. Perbincangan ini menumpukan pada peranan teknologi bantu dan teknologi boleh akses dalam meningkatkan kebebasan, pendidikan, dan peluang pekerjaan bagi Orang Kelainan Upaya.
- Panel Perbincangan 5 bertajuk "Latihan dan Pekerjaan: Adakah Tenaga Kerja Inklusif?" dikendalikan oleh YM Puan Ayla binti Malai Hj Abdullah dari Brunei LNG bersama ahli panel YM Puan Melline Jaini, Pengurus Besar Uniklearn, YM Puan Ku Geok Boon dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura dan YM Tuan Rezki Achyana, Pengasas Parakerja dari Indonesia. Sesi ini membincangkan isu-isu berkaitan penyertaan individu berkeperluan khas dalam tenaga kerja dan berkongsi inisiatif untuk memajukan latihan dan peluang pekerjaan yang inklusif. Panel Perundingan Interaktif 6 mengenai "From Insight to Action: Personalized Strategies for Implementing Accessible Tech Solutions" dikendalikan oleh YM Puan Robin Ann Jones, Pengarah dan Ketua Penyelidik Utama di Great Lakes American with Disabilities Act Centre. Sesi ini membincangkan pendekatan praktikal untuk mengintegrasikan teknologi bantu dan boleh akses dalam kehidupan seharian individu berkeperluan khas, termasuk dalam pendidikan, penyesuaian tempat kerja, dan sokongan untuk kehidupan berdikari. Sesi ini ditujukan kepada pelbagai pihak berkepentingan termasuk individu berkeperluan khas, keluarga, pendidik dan majikan.
Persidangan ini dihasratkan menjadi platform untuk mempelajari amalan terbaik samaada dari dalam mahupun luar negeri, menghasilkan laporan perbincangan dan cadangan demi memastikan dasar-dasar negara lebih inklusif dan memberikan impak yang lebih besar dalam memenuhi keperluan masyarakat OKU. Turut hadir ke persidangan ini ialah Tuan-Tuan dan Puan Yang Terutama dari Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye, Amerika Syarikat, Republik Persekutuan Jerman, Kemboja, Republik Filipina, Jepun; Duta Pesuruhjaya Tinggi Kanada dan Republik Islam Pakistan; wakil dari Kedutaan Diraja Arab Saudi, Kedutaan Diraja Thailand dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia; Setiausaha-Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan organisasi rakan kongsi.
 
|