​​​​​​​​

PBSM NBD raikan ulang tahun penubuhan ke-77

11052025_PBSM (2).jpg


Sumber: Pelita Brunei

Berita: Aimi Sani 

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman​


BERIBI, Ahad, 11 Mei. - Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam (NBD) telah ​mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan ​PBSM NBD Ke-77 yang berlangsung di Ruang Legar, ​Tingkat 1, Kompleks Annajat, Beribi, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

 

Presiden PBSM NBD, Dayang Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd. Hussain dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan sejarah penubuhan dan perkembangan PBSM NBD sepanjang tempoh 77 tahun.

 

Beliau seterusnya mengongsikan antara pencapaian yang telah dibanggakan ialah apabila PBSM NBD diperbadankan sebagai salah sebuah badan berkanun dalam perlembagaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1990 dan berperanan sebagai 'auxiliary' kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

"Peranan utama yang menjadi tanggungjawab persatuan ini bukan sahaja untuk menyediakan dan memberikan perkhidmatan sukarela dalam pertolongan kecemasan serta memastikan keselamatan nyawa dan harta benda dalam keadaan perang, situasi bencana dan penularan wabak, malahan ketika waktu aman dan damai pun, kita berperanan membina kekuatan masyarakat dalam pelbagai bidang seperti kesihatan awam, kesihatan mental, siaga bencana dan memeduli masyarakat yang terkesan oleh pelbagai fenomena dan isu semasa.

 

"Pada hakikatnya, peranan kita adalah untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan pada setiap masa.

 

"Semasa penularan wabak COVID-19 di negara ini, PBSM NBD telah memainkan peranan utama dalam menjadi sukarelawan barisan hadapan yang pertama sekali membantu Kementerian Kesihatan dan seterusnya berperanan menubuhkan kumpulan sukarelawan COVID-19 bersama pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO lainnya," ujarnya lagi.

 

Tema Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia pada tahun ini terang Dayang Lailatul Zubaidah lagi, mengangkat isu-isu kemanusiaan global yang semakin membimbangkan warga dunia, dengan pencabulan terhadap hak asasi kemanusiaan yang semakin meruncing menjadi cabaran kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

 

Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian Surat Cara Lantikan Jawatan dan Sijil Tauliah Pangkat kepada Ahli Lembaga Jemaah Tadbir Sesi 2024 hingga 2029, Surat Cara Lantikan Ahli Majlis Kebangsaan PBSM NBD Sesi 2025 hingga 2027, dan Sijil Akreditasi Agensi Latihan Pertolongan Cemas Bertauliah di bawah Akademi Bulan Sabit Merah NBD oleh tetamu kehormat majlis.

 

Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian derma kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 hasil sumbangan dari PBSM NBD kepada tetamu kehormat majlis.


11052025_PBSM (1).jpg




​​​​