​​​​​​​​

Majlis Perasmian Pameran Seni Kreatif DBP Laguna Seni 2025

20250507_lagunaSeni-8.jpg



Sumber : Siaran Akhbar DBP

Foto : Md Azinuddin KKBS


Bandar Seri Begawan, Rabu, 9 Zulkaedah 1446/7 Mei 2025​ - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Seni Lukis dan Reka Bentuk mengungkayahkan Pameran Seni Kreatif DBP Laguna Seni 2025, iaitu hasil seni gabungan mantan pelukis dan pelukis DBP bermula pada 7 hingga 27 Mei 2025 bertempat di Galeri 4, Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei Dermaja Diraja, Jalan McArthur, Bandar Seri Begawan.

 

Majlis Perasmian Pameran Seni Kreatif DBP Laguna Seni 2025 disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada Rabu, 9 Zulkaedah 1446/7 Mei 2025 di Galeri 4, Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei Dermaja Diraja, Jalan McArthur, Bandar Seri Begawan pada sebelah petang.

 

Terdahulu, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Timbalan Pengarah DBP selaku Timbalan Pengerusi Pameran Seni Kreatif DBP Laguna Seni 2025.

 

Pameran ini memaparkan sebanyak 89 buah lukisan, 94 hasil seni grafik, 64 buah ilustrasi yang disertai oleh 37 orang pelukis DBP termasuk mantan pelukis yang pernah berkhidmat di DBP. Gabungan antara mantan pelukis DBP dan pelukis semasa ini menjadi satu langkah yang amat bermakna dalam memastikan kesinambungan dan pemerkasaan seni negara. Gabungan ini juga diharap dapat menghasilkan karya-karya yang lebih berinovasi dan relevan dengan zaman sekarang, tanpa melupakan akar budaya dan tradisi seni negara. Pameran ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menghargai dan menghayati evolusi seni lukis dan seni grafik negara seterusnya akan dapat melihat secara langsung bagaimana seni lukis dan seni grafik tempatan berkembang dari zaman dahulu hingga kini, serta memahami pelbagai teknik, gaya dan konsep yang diterapkan oleh setiap pelukis. Pameran ini juga membolehkan masyarakat menghargai warisan seni negara dengan lebih mendalam dan seterusnya mengenali para pelukis yang memberi sumbangan besar dalam memartabatkan seni visual tanah air.

 

Secara keseluruhannya, pameran lukisan gabungan ini bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai karya seni, tetapi juga sebagai medan untuk memperkukuh kerjasama antara generasi pelukis yang berbeza, memberi manfaat kepada masyarakat, pelajar serta jabatan dalam memperkasa seni lukis dan seni grafik tanah air.

 

Pameran Seni Kreatif DBP Laguna Seni 2025 akan dibukakan bagi kunjungan orang ramai pada setiap hari, mulai 8 – 27 Mei 2025 di Galeri 4, Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Jalan McArthur, Bandar Seri Begawan pukul 9.00 pagi – 4.30 petang dan ditutup pada hari Jumaat.


20250507_lagunaSeni-24.jpg 20250507_lagunaSeni-9.jpg 20250507_lagunaSeni-16.jpg 20250507_lagunaSeni-21.jpg 



​​​​