
Source : Press Release and photo MCYS
MANILA, PHILIPPINES, Isnin, 29 Syawal 1446 / 28 April 2025 – Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Belia ASEAN kali ke-14 (ASEAN SOMY) telah bersidang pada 28 April 2025, di Manila, Filipina dan telah dipengerusikan oleh Yang Mulia Puan Ms. Michelle Mae Gonzales, (Penolong Setiausaha/Pesuruhjaya Suruhanjaya Belia Besar Negara, Filipina. Mesyuarat ini diikuti dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Belia ASEAN Campur Tiga kali ke-13 pada 29 April 2025 dengan dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Puan Ms. Michelle Mae Gonzales dan Mr. Fujimori, Pengarah bagi Pertukaran Belia Antarabangsa, Jepun. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Yang Mulia Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Brunei Darussalam; para Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN atau wakil yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia; Perwakilan Peringkat Tinggi serta Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
ASEAN SOMY kali ke-14 dan ASEAN SOMY Campur Tiga kali ke-13 adalah platform untuk Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN dan Perwakilan Peringkat Tinggi serta pihak berkepentingan yang berkaitan dalam bidang hal ehwal belia untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan kerjasama ke arah memperkasa belia ASEAN dalam usaha membangun Komuniti ASEAN selaras dengan Kenyataan Pemimpin ASEAN mengenai pembangunan Komuniti ASEAN Pasca-2025.
Para Pegawai-Pegawai Kanan Belia ASEAN mengambil maklum perkembangan dan pencapaian pelaksanaan Pelan Kerja Belia ASEAN 2021-2025, dan menekankan peningkatan usaha dan inisiatif dalam memperkukuhkan komunikasi interaktif daripada pihak belia ASEAN. Pegawai Kanan Belia ASEAN juga mengambil maklum mengenai dengan kemas kini status pengendalian Kajian Penggal Akhir Pelan Kerja Belia 2021 –2025 dan impak kepada pembangunan dan pemerkasaan belia di rantau ini serta membincangkan bidang keutamaan rancangan Kerja ASEAN Pasca 2025.
Mesyuarat juga meneruskan sokongan padu kepada organisasi-organisasi belia ASEAN untuk melaksanakan program-program pembangunan Belia yang diselaraskan dengan bidang keutamaan Pelan Kerja Belia 2021 – 2025 iaitu Pendidikan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Peluang dan Pekerjaan, Penglibatan Belia, Kesedaran mengenai ASEAN, Nilai dan Identiti.
Mesyuarat juga merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh rakan dialog, organisasi organisasi belia ASEAN dan rakan dialog ASEAN dalam pelaksanaan Pelan Kerja Belia Campur Tiga ASEAN 2021-2025, yang melengkapkan Pelan Kerja Belia ASEAN 2021-2025, dalam memperkasakan belia ASEAN dan menyumbang ke arah mengukuhkan persahabatan, perpaduan dan kerjasama dengan belia bersama rakan dialog.
ASEAN SOMY Kali Ke-14 dan ASEAN SOMY Campur 3 Kali ke-13 telah dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN dan Negara Campur Tiga yang bertanggungjawab terhadap belia, Rakan Kongsi dan Pertubuhan Perwakilan Peringkat Tinggi seperti Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC), ASEAN Institute for Peace and Reconciliation (ASEAN-IPR), ASEAN Foundation, ASEAN Youth Forum, ASEAN Youth Organization dan Singapore Polytechnic.
Brunei Darussalam juga berkesempatan untuk mengadakan Mesyuarat dua hala dengan Negara Jepun bagi membincangkan perlaksanaan program pertukaran Belia ASEAN Jepun dan juga cadangan program kerjasama Jepun-Brunei Darussalam dalam hal Ehwal Belia.
Turut hadir, Yang Mulia Puan Zainab binti Haji Morshidi, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan serta pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.