.jpg)
Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS
Hong Kong SAR, 23 April 2025 – Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam telah menghadiri Forum Kerjasama Kebudayaan Asia+ (ACCF) ke-13 mulai 22 hingga 23 April 2025 di Hong Kong SAR.
Forum bertemakan "Connect, Create, Engage: Bridging Cultures for All" telah dipengerusikan oleh Rosanna Law, Setiausaha Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Hong Kong SAR. Forum dihadiri oleh 17 negara, termasuk peserta-peserta dari negara-negara Belt and Road.
Forum tersebut menekankan kepentingan seni, budaya dan warisan dalam menghubungkan pelbagai budaya di rantau ini, memupuk inspirasi kreativiti dan memperkasa komuniti budaya terutamanya kemajuan teknologi digital masa kini. Forum berkenaan juga menyentuh mengenai perubahan pelbagai aspek yang berlaku dalam memasuki zaman ketegangan geopolitik dan perang tarif yang tidak menentu, serta kesannya terhadap seni dan budaya. Dalam forum tersebut, Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi menegaskan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam memupuk budaya yang dinamik dan memelihara warisan melalui peningkatan penyertaan masyarakat dalam program inklusif serta meningkatkan keupayaan bakat kreatif tempatan.
Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi turut mengongsikan pencapaian Negara Brunei Darussalam dalam menubuhkan Pusat Sejarah Brunei sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei, pelancaran ASEAN Walk menampilkan arca yang lengkap dari kesemua 10 negara ASEAN serta usaha kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand dalam kejayaan mendaftarkan Kebaya ke dalam Senarai Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO.
Turut mengiringi Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi ialah Yang Mulia Dayang Hakimah binti Sufian, Ketua Pegawai Muzium dan Pengurus Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sesi pleno juga telah diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong, iaitu Dayang Hakimah telah menyampaikan pembentangan bertajuk "From Strategy to Implementation: A Brunei Darussalam Journey" dengan mengongsikan kejayaan Negara Brunei Darussalam dalam Industri Kebudayaan dan Kreatif.
ACCF+ merupakan platform inisiatif Kerajaan Hong Kong SAR yang bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dan pertukaran budaya, dan telah diiktiraf sebagai acara kerjasama kebudayaan yang signifikan.
.jpg)