.jpg)
Sumber : Siaran Media dan foto KKBS
ISLAMABAD, PAKISTAN, JANUARI 2025 – Mesyuarat Menteri Belia Serantau Asia Komanwel 2025, telah diadakan dari 28 hingga 30 Januari 2025 di Islamabad, Pakistan. Mesyuarat dihadiri oleh Menteri-Menteri Belia Serantau Komanwel Asia yang bertanggungjawab untuk pembangunan belia dan wakil-wakil mereka dari Bangladesh, India, Malaysia, Maldives, Sri Lanka, dan Pakistan. Hadir mewakili bagi pihak Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam, ialah Tuan Yang Terutama Kolonel (Bersara) Pengiran Haji Kamal Bashah bin Pengiran Haji Ahmad, Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Republik Islam Pakistan. Mesyuarat ini diadakan serentak dengan Sesi Pelancaran Perikatan Belia Asia Komanwel (CAYA) di bawah tema "Menyampaikan Masa Depan Bersama: Menghubungkan, Berinovasi, Mengubah". Acara-acara ini melambangkan saat penting bagi kerjasama belia serantau dan kepimpinan. Wakil dari Azerbaijan, Bahrain dan Kyrgyzstan juga hadir sebagai pemerhati.
Mesyuarat ini merupakan inisiatif Sekretariat Komanwel, London, UK; Program Belia Perdana Menteri (PMYP), Pejabat Perdana Menteri, Pakistan; dan British Council di Pakistan. Tuan Yang Terutama Mr. Muhammad Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Republik Islam Pakistan menghadiri majlis pembukaan sebagai Tetamu Kehormat. Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Berhormat Mr. Rana Mashhood Ahmad Khan, Pengerusi PMYP. Objektif mesyuarat ini adalah untuk mengukuhkan peranan kepimpinan belia dalam menangani cabaran kritikal termasuk perubahan iklim, keterangkuman digital, dan ketaksamaan sosio-ekonomi. Mesyuarat Menteri Belia Serantau Asia Komanwel juga diadakan untuk menyelaraskan keutamaan dasar serantau dengan matlamat pembangunan belia dan memastikan pelaksanaan hasil Mesyuarat Menteri Belia Komanwel ke-10 (CYMM) dan Marlborough House Commitments (MHC) yang berkesan.
Semasa mesyuarat, Negara Brunei Darussalam menegaskan komitmennya untuk melibatkan dan mengiktiraf pencapaian belia Brunei melalui Pendekatan Senegara (Whole of Nation approach), dengan melibatkan mereka sebagai agen perubahan dalam agenda nasional dan serantau, terutama untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Visi Brunei 2035. Brunei Darussalam berkongsi status pembangunan belianya seperti yang diukur oleh peningkatan ketara skor Indeks Pembangunan Belia (YDI). Menurut Laporan Kemas Kini YDI Global 2023, Brunei Darussalam menduduki tempat ke-27 di peringkat global, dan kelima dalam Komanwel dengan skor 0.810, naik enam tempat sejak 2020.
Negara Brunei Darussalam membentangkan kemajuan pelaksanaan Resolusi Menteri CYMM ke-10 dan MHC, yang merangkumi Dasar dan Perundangan Belia Nasional, Penglibatan dan Keterangkuman Belia, Kemasukan Sosial dan Kesaksamaan, Perlindungan Kanak-kanak dan Orang Muda, Pendidikan Keterangkuman dan Akses, Peluang Pekerjaan dan Ekonomi, Matlamat Pembangunan Mampan dan Alam Sekitar, dan Kerjasama dan Perkongsian Dasar. Negara Brunei Darussalam menekankan bahawa komitmen ini selaras dengan Dasar Sektoral Negara Brunei Darussalam dan Strategi dalam Pembangunan Belia, Pendidikan, Ekonomi Digital; dan menuju kepada SDG.
Hasil mesyuarat di atas, Menteri-Menteri mengadopsi ‘Deklarasi Islamabad mengenai Pembangunan Belia’ dan menegaskan komitmen mereka untuk memberdayakan golongan muda, memupuk penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan yang bermakna, dan menangani cabaran yang mungkin dihadapi oleh belia di seluruh rantau ini, serta menegaskan penubuhan CAYA sebagai platform penting untuk memperkuatkan suara belia dan sebagai pusat tumpuan untuk meningkatkan kerjasama di rantau Asia Komanwel.
Mesyuarat mencatat hasil Sesi Pelancaran CAYA yang telah dihadiri oleh Pemimpin Belia dari Rantau Asia Komanwel menyaksikan pelancaran Rancangan Strategik CAYA dan pembentangan Pelan Tindakan Setiap Negara oleh Pemimpin Belia. Menteri-Menteri seterusnya merasmikan pembukaan Pejabat Sekretariat CAYA di Pusat Persahabatan Pak-China di Islamabad.
Mengiringi Yang Berhormat Kolonel (Bersara) Pengiran Haji Kamal Bashah bin Pengiran Haji Ahmad ialah Yang Mulia Zainab binti Haji Morshidi, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pegawai kanan KKBS dan dua (2) delegasi belia dalam kapasiti mereka sebagai Wakil Negara dalam Majlis Belia Komanwel untuk Brunei Darussalam.
.jpg)
.jpg)