Bandar Seri Begawan, Isnin, 16 Jamadilawal 1446 / 18 November 2024 – Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) merujuk kepada video yang tular di media sosial berhubung
insiden melibatkan beberapa ahli pasukan bolasepak kebangsaan semasa berada di Persekutuan
Rusia untuk menyertai perlawanan persahabatan ‘FIFA Days’ dari 12 hingga 18 November 2024.
Kementerian memandang serius perkara ini kerana ia mencemarkan imej negara, reputasi dan
integriti atlet kebangsaan yang mewakili Negara Brunei Darussalam di peringkat antarabangsa.
Kementerian ini menegaskan bahawa tanggungjawab mewakili negara bukan sahaja melibatkan
prestasi di gelanggang permainan tetapi juga tingkah laku di luar gelanggang permainan, yang perlu
menghormati dan mematuhi disiplin, etika, dan nilai-nilai yang mencerminkan identiti Brunei sebagai
sebuah negara Melayu Islam Beraja.
Seperti yang dinyatakan di Siaran Akhbar Kementerian ini bertarikh 04 Rabiulakhir 1446 bersamaan
08 Oktober 2024, Kementerian ini kekal komited untuk menegakkan standard akauntabiliti serta
integriti yang tinggi dan seterusnya mengingatkan semua pegawai persatuan dan atlet sukan untuk
sentiasa mematuhi peraturan, undang-undang dan kod etika, terutamanya ketika mewakili negara
serta menjaga imej dan nama baik Negara Brunei Darussalam.
Setiap ahli rombongan, sama ada pemain atau pegawai, diwajibkan menjaga imej negara dengan
mematuhi nilai-nilai disiplin, tanggungjawab, etika, dan tingkah laku yang baik, baik di dalam
mahupun di luar gelanggang permainan. Sebarang pelanggaran kod etika atau kegagalan mematuhi
disiplin adalah tidak boleh diterima dan akan diambil tindakan sewajarnya.
Siasatan penuh akan dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan dan seterusnya melaksanakan
langkah-langkah pencegahan bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang.