​​​​​​​​

Pratonton Persembahan Kebudayaan Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara Dan Jepun Ke-48, 2024

​​MAKD.png



BERAKAS, Khamis, 20 Rabiulakhir 1446H/24 Oktober 2024M. – Negara Brunei Darussalam pada tahun ini sekali lagi telah dipelawa bagi mengikuti Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) kali ke-48, yang merupakan Program Pertukaran Belia Antarabangsa dilaksanakan khusus untuk belia rantau ASEAN dan Jepun. 


Negara akan menghantar satu kontinjen seramai 15 belia dan seorang Ketua Kontinjen (National Leader) dengan keramaian keseluruhan 168 belia daripada 11 buah negara yang menyertainya. 


Program SSEAYP 2024 tahun ini akan berjalan selama 38 hari, mulai 04 November hingga 11 Disember 2024 bermula dari Tokyo, Jepun dan akan singgah di beberapa negara ASEAN iaitu Vietnam dan Indonesia sebelum kembali ke Tokyo. Peserta program akan mengikuti aktiviti-aktiviti yang disusun oleh negara-negara disinggahi termasuk Majlis Selamat Datang, Aktiviti Tinggal Bersama Keluarga Angkat dan Lawatan Sambil Belajar. 


Salah satu pengisian Program SSEAYP ini mengkehendaki setiap kontinjen untuk membuat Persembahan Kebudayaan sebagai salah satu saluran untuk memperkenalkan identiti dan kebudayaan negara masing-masing. Bagi tujuan tersebut, satu pratonton Persembahan Kebudayaan Kebangsaan (National Presentation) telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang akan dipersembahkan oleh kontinjen negara semasa majlis-majlis resepsi di negara-negara tempat persinggahan dan juga sebagai aktiviti pengenalan negara di atas Kapal Nippon Maru yang akan digunakan sepanjang pelayaran di lautan. 


 Hadir menyaksikan pratonton tersebut ialah Yang Mulia Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan selaku tetamu kehormat. 


 Antara persembahan kebudayaan yang telah disediakan termasuk Warisan Satu Anugerah, Adai-Adai, Dundang Beranyut, Joget Hati Tertawan dan Silat Melayu. 


Sebelum itu, majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diketuai oleh Yang Mulia Mohammad Azid bin Haji Mohamed Sambas, Ketua Belia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-48, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kontinjen Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Syed Abdul Muiz bin Haji Syed Anayatullah Shah, Pegawai Belia dan Sukan. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata kepada penajapenaja yang memberikan sokongan dan tajaan kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke SSEAYP 2024. Majlis turut menyaksikan tayangan video pengenalan kontinjen serta persembahan Cheers dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat. 



39.png 

40.png

​​

​​​​