​​​​​​​​

Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan Menghadiri Mesyuarat Ke-11 Menteri-Menteri Asean Yang Bertanggungjawab Mengenai Kebudayaan Dan Kesenian (AMCA) Serta Mesyuarat AMCA Bersama Rakan-Rakan Dialog

WhatsApp Image 2024-10-26 at 4.39.36 PM.jpeg





Melaka, Malaysia, 24 Oktober 2024 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia, dan Sukan Negara Brunei Darussalam, telah menghadiri Mesyuarat Ke-11 Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab mengenai Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) serta Mesyuarat AMCA Bersama Rakan-Rakan Dialog, termasuk ASEAN Campur Tiga, China, Jepun dan Republik Korea yang telah diadakan di Melaka, Malaysia pada 23 hingga 26 Oktober 2024.

 

Mesyuarat yang bertemakan “Merapatkan Budaya, Membina Masa Depan: Kesatuan Dalam Kepelbagaian" ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Mesyuarat juga turut dihadiri oleh Menteri-Menteri AMCA negara-negara ahli ASEAN dan wakil, serta Setiausaha Agung ASEAN. Timor-Leste juga hadir sebagai pemerhati.

 

Mesyuarat Ke-11 AMCA telah menggariskan peranan penting budaya dan seni dalam mempromosikan pembangunan mampan dan inklusif bagi memperkukuhkan perpaduan ASEAN. Mesyuarat menekankan kekayaan kepelbagaian budaya ASEAN yang menjadi asas kepada kesatuan serantau, dengan matlamat menyokong Visi Komuniti ASEAN 2045, dengan tiga keutamaan iaitu Belia, Ekonomi Kreatif dan Pendigitalan.

 

Semasa mesyuarat, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengongsikan bahawa Negara Brunei Darussalam telah menerima manfaat daripada inisiatif-inisiatif budaya serantau yang mempromosikan nilai kebersamaan dan meraikan kepelbagaian. Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga mengongsikan mengenai pencalonan bersama negara-negara ahli ASEAN mengenai Kebaya untuk diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh UNESCO iaitu satu usaha penting yang memperkukuhkan solidariti serantau. Seterusnya, Yang Berhormat Dato menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam bagi memajukan Industri Budaya dan Kreatif (CCI), selaras dengan Deklarasi Vang Vieng yang mana usaha ini diperkuatkan melalui kerjasama dengan Jepun, China dan Republik Korea. Yang Berhormat Dato juga menghadiri Sesi Interface AMCA Campur Tiga bersama peserta Forum Belia dan Warisan ASEAN, di mana Negara Brunei Darussalam diwakili oleh dua belia, iaitu Awang Hilmi Hamizan bin Haji Rosli dan Dayang Nornaqibah binti Abdul Hamid.


Mesyuarat ke-11 AMCA telah didahului oleh Mesyuarat ke-20 Pegawai-Pegawai Kanan yang bertanggungjawab terhadap Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) yang telah berlangsung pada 22 Oktober 2024 dan diikuti dengan Mesyuarat SOMCA bersama Rakan Dialog termasuk ASEAN Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Republik Korea pada 23 Oktober 2024.

 

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut disertai oleh Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) selaku wakil SOMCA Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam.



1.jfif 

2.jfif

 

 


​​​​