Sumber: Siaran Media KKBS
Foto : Md Azinuddin - KKBS
Bandar Seri Begawan, Khamis, 26 Muharam 1446/1 Ogos 2024 – Sambutan Hari Belia Kebangsaan mensasarkan bagi memartabatkan pergerakan belia dan memperingati dan mengumpulkan belia-belia di negara ini dalam satu perhimpunan dengan kegiatan yang bermakna. Pada tahun ini, Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19 dengan bertemakan “Belia Siaga Masa Depan" akan diadakan pada hari Rabu, 2 Safar 1446 bersamaan dengan 7 Ogos 2024 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran (Solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, Bacaan Surah Yasin dan Bertahlil serta Doa Kesyukuran) pada hari ini bertempat di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampong Rimba, Gadong.
Hadir bagi majlis tersebut ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam).
Aturcara majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib berjemaah dan diikuti dengan Solat Hajat diimamkan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Adham bin Hashim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampong Rimba, Gadong.
Majlis disusuli dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Hafiezuddin Faris bin Pengiran Sharifuddin, Belia Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampong Rimba, Gadong, dikhususkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah serta kaum muslimin dan muslimat yang telah kembali kerahmatullah.
Majlis diteruskan dengan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, tahun 2024 dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa menghindari Wabak COVID-19 yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Adham bin Hashim, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampong Rimba, Gadong, dan majlis diakhiri dengan Solat Fardu Isyak berjemaah.
Turut hadir, Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-19, tahun 2024; Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Pengarah-Pengarah Bahagian dan Jabatan; Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya; Persatuan-Persatuan Belia dan Sukan; Belia Masjid; serta pihak-pihak yang berkepentingan yang lain bagi sama-sama memanjat doa dan tanda kesyukuran betapa beruntungnya belia di negara ini terus aman dan bebas bergerak dengan sokongan kerajaan yang berterusan.