Sumber : Siaran Media dan foto KKBS
Paris, France, Jumaat, 20 Muharam 1446 / 26 Julai 2024 – Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Olimpik Paris ke-33, yang diadakan di sepanjang Sungai Seine di Paris, Perancis. Sukan Olimpik ke-33 ini disertai oleh lebih 10,000 orang atlet dari 206 buah negara. Kemuncak acara itu menyaksikan negara-negara, termasuk Brunei Darussalam membuat perarakan di sungai melalui ibu kota Perancis.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Pengarah Belia dan Sukan, Yang Mulia Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku Chef de Mission terdiri daripada 8 orang ahli. Ini termasuk 2 pegawai urusetia, 2 jurulatih, 2 atlet renang akuatik, dan 1 atlet dalam olahraga. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan Tony Estanguet, Presiden Paris 2024 Organising Committee dan diikuti dengan ucapan daripada Mr Thomas Bach, Presiden International Olympic Committee. Presiden Republik Perancis, Emmanuel Macron mengisytiharkan Sukan Olimpik Paris 2024 dibuka.
Sebelum majlis perasmian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah menghadiri Persidangan Menteri-Menteri UNESCO mengenai 'Change the Game' di Ibu Pejabat UNESCO, Paris pada 24 Julai 2024. Persidangan yang bertemakan 'Building More Equal and Sustainable Sporting Legacies' menyediakan platform untuk menteri, organisasi sukan, atlet dan pihak berkepentingan lain membincangkan tentang peranan sukan yang memberi kesan dalam pembangunan mampan. Selain itu, persidangan itu menampilkan pembentangan tentang sumber program sukan utama UNESCO "Fit for Life", yang memfokuskan kepada memajukan amalan, dasar dan program inklusif untuk Pendidikan Jasmani Berkualiti dan kesaksamaan jantina dalam sukan.
Pada 25 Julai 2024, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Komanwel Ke-11 (11CSMM). Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Berhormat Carla Qualtrough, Menteri Sukan dan Aktiviti Fizikal Kanada, dan telah dihadiri oleh Menteri - Menteri dan Ketua Delegasi dari negara anggota Komanwel.
Tema mesyuarat 11CSMM iaitu 'Building Inclusive and Resilient Societies through Sport' menggalakkan konsensus dan kerjasama Komanwel mengenai isu dasar sukan penting dalam Komanwel, khususnya dalam bidang seperti tadbir urus yang baik dan hak asasi manusia dalam sukan, pendekatan intersektoral untuk Sports for Development and Peace (SDP), menunjukkan kesan untuk merangsang pelaburan, dan cara mencapainya melalui Komanwel yang lebih bersatu. Semasa mesyuarat tersebut, Menteri-Menteri Sukan Komanwel telah mengesahkan kenyataan bersama hasil Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Komanwel Ke-11.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan diiringi oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Sukan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.