
Sumber : Siaran Akhbar IBTE
Foto : Md Azinuddin - KKBS
TEMBURONG, Rabu, 24 Julai 2024, - Seramai 73 orang pelatih yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengikuti program-program iSkills dan Industrial Skills Qualification (ISQ) di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah berjaya menamatkan Program Jati Diri (PJD) bagi pelajar iSkill Kohort 6 selama 90 hari dan diraikan pada majlis penutup di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Temburong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Program Jati Diri yang diungkayahkan dengan kerjasama padu antara Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM), Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) ini bertujuan untuk menyemai nilai-nilai keperibadian dan jati diri yang teguh dalam kalangan para pelajar.
Matlamat Program Jati Diri ini adalah untuk meningkatkan, memupuk dan mengukuhkan integriti, disiplin, rasa bertanggungjawab, prinsip keagamaan dan juga mengubah minda para pelatih agar lebih berdaya tahan.
Sebelum menjalani latihan Program Jati Diri ini, pelatih-pelatih telah terlebih dahulu menamatkan pengajian mereka selama 6 bulan di IBTE, 3 bulan di Registered Training Organisations (RTOs) dan 3 bulan penempatan kerja di dalam industri.
Beberapa komponen telah ditekankan dalam Program Jati Diri ini iaitu; 1) komponen jati diri, keagamaan dan kenegaraan, 2) komponen disiplin dan latihan fizikal, 3) komponen keusahawanan dan 4) komponen khidmat komuniti.
Dengan adanya komponen-komponen ini, para pelatih diharap akan lebih bersedia dari segi fizikal, mental, emosi dalam menghadapi cabaran dan rintangan terutama sekali apabila melangkah ke alam pekerjaan yang semakin mencabar. Selain menerapkan nilai-nilai moral, pelatih diharap bersedia menggalas tugasan yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi dalam menyumbang kepada diri sendiri, masyarakat dan negara serta berperanan sebagai contoh teladan bagi generasi tenaga kerja yang akan datang.
Majlis hari ini juga menyampaikan anugerah pelatih terbaik, tayangan video memaparkan beberapa aktiviti yang dijalani oleh pelatih.