Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Ak Hussni - KKBS, Md Nasrullah -JMM
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Muharram 1446/11 Julai 2024 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446 di Dewan Digadong Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Bagi memohon keberkatan majlis, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai olah Yang Mulia Abdul Muaz'zam Azri bin Zulkifli, Pegawai Perkembangan Ugama i-Ready, Pusat Pembangunan Belia.
Majlis diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Ilal Hijrah, Ilal Jannah' yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustazah Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd.Yusoff, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban oleh Firqah Al-Falaah, kumpulan dikir Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk meraikan kepulangan lapan (8) orang Jemaah Haji yang terdiri dari pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Memohon Perlindungan dari Wabak COVID-19 oleh Yang Mulia Abdul Muaz'zam Azri bin Zulkifli, Pegawai Perkembangan Ugama i-Ready, Pusat Pembangunan Belia dan Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar sebagai penutup majlis.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap serta Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.