​​​​​​​​

Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2024

04072024_Sambutan Bulan Bahasa (2).JPG


Sumber : Siaran Akhbar dan Foto DBP



Bandar Seri Begawan, Khamis, 27 Zulhijah 1445/4 Julai 2024 - Majlis Sambutan Bulan Bahasa 2024 yang diungkayahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berlangsung di Ruang Legar, Kompleks Membeli-belah The Mall, Gadong pada tengah hari. Tema bagi Sambutan Bulan Bahasa 2024 ialah “Memperkasakan Bahasa Melayu".

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Bulan Bahasa 2024, ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award), mantan Pengarah dan Timbalan Pengarah DBP, Duta-duta Bahasa, ketua-ketua persatuan, rakan-rakan strategik, pegawai-pegawai kanan, para penulis serta pencinta bahasa dan sastera.

 

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan", bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis turut diserikan dengan Sesi Baca Buku selama 10 minit. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Pengarah DBP selaku Pengerusi majlis.

 

Majlis diteruskan dengan Ikrar Bahasa oleh penuntut-penuntut Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri. Pada tahun ini, majlis turut mempersembahkan penampilan khas daripada Duta-duta Bahasa dan Bicara Berirama oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

 

Tetamu Kehormat majlis seterusnya melancarkan Sambutan Bulan Bahasa 2024 serta buku terbaharu terbitan DBP sebanyak tiga buah, iaitu Dinamika Bahasa Melayu Jilid 3, Buku Mini Istilah Kitani dan Kamus Istilah Pemakanan.

 

Turut disampaikan sewaktu majlis tersebut ialah sijil dan hadiah kepada Pelajar Cemerlang Mata Pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat 'O' dan 'A' pada tahun 2023 kepada seramai 17 orang pelajar, pemenang Peraduan Menulis Cerpen dan Kritikan Sastera Bahana, DBP 2023, pemenang Peraduan Menulis Rencana Umum Jurnal Beriga 2023 – 2024, panel hakim peraduan, rakan strategik dan peserta persembahan. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan seterusnya melawat pameran.

 

Sambutan Bulan Bahasa 2024 diadakan selama dua hari, iaitu pada hari Rabu – Khamis, 26 – 27 Zulhijah 1445/ 3 – 4 Julai 2024 di Ruang Legar, Kompleks Membeli-belah The Mall, Gadong dengan pengisian pelbagai kegiatan dan pameran yang menjurus kepada pemerkasaan bahasa Melayu. Kompleks Membeli-belah The Mall, Gadong dipilih sebagai lokasi yang strategik untuk mengikutsertakan masyarakat dan memberikan pendedahan kepada orang awam tentang aktiviti kebahasaan dan kebudayaan yang dikendalikan oleh DBP.


​​​​