​​​​​​​​

Pameran Tekstil eratkan lagi hubungan NBD, Bangladesh

02072024_ Pameran Textile  Bangladesh-NBD (2).jpg


​Sumber : Pelita Brunei

Berita : Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid 

Foto : Md Nasrullah - JMM


KOTA BATU, Selasa, 2 Julai. - Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan kerjasama Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengadakan Pameran Tekstil bersempena meraikan Sambutan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik antara NBD dan Republik Rakyat Bangladesh Ke-40.

 

Pameran yang diadakan di Muzium Teknologi Melayu, Kota Batu itu mempamerkan pelbagai tekstil berasal dari Bangladesh, memperlihatkan kekayaan warisan budaya dan pertukangan tangannya.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pameran berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

 

Turut hadir semasa perasmian tersebut, Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke NBD, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona.

 

Sebagai sebahagian daripada sambutan itu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh juga menyumbangkan empat koleksi sari antik (vintage) bagi koleksi Muzium Brunei, dihasrat untuk mengukuhkan lagi hubungan budaya antara kedua-dua negara.

Di samping itu juga diadakan persembahan muzik yang memberikan peluang orang ramai mengalami sendiri tradisi muzik Bangladesh.

 

Sambutan Memperingati 40 Tahun Hubungan Diplomatik antara Republik Rakyat Bangladesh dan NBD ini menggariskan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara kedua-dua buah negara.

 

Pameran Tekstil yang merangkumi tekstil sari dan persembahan muzik itu juga bertujuan untuk memupuk pemahaman mendalam dan penghargaan yang lebih tinggi antara rakyat Bangladesh dan NBD.

 

Dengan adanya kerjasama di antara Jabatan Muzium-Muzium dan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dalam melaksanakan pameran ini akan menandakan satu pencapaian yang penting dalam hubungan dua hala. Pameran Tekstil tersebut dibukakan bagi kunjungan orang ramai bermula hari ini sehingga 16 Julai 2024.




​​​​