
Sumber : Siaran Akhbar DBP
Foto : Md Azinuddin - KKBS
Bandar Seri Begawan, Isnin, 24 Zulhijah 1445/1 Julai 2024 - Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman, dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan pada sebelah petang.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Bulan Bahasa 2024, ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya, ketua-ketua persatuan, pegawai-pegawai kanan, para penulis serta para pencinta bahasa dan sastera.
Bacaan Surah Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Awang Faizal bin Janip, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi.
Majlis ini merupakan penanda dan pemula acara bagi Sambutan Bulan Bahasa 2024 dan kegiatan sempena Bulan Bahasa yang dirancang sepanjang tahun (Julai 2024 hingga Jun 2025). Manakala acara kemuncak Sambutan Bulan Bahasa 2024 dengan tema “Memperkasakan Bahasa Melayu" akan berlangsung pada hari Rabu – Khamis, 26 – 27 Zulhijah 1445 bersamaan 3 – 4 Julai 2024 bertempat di Ruang Legar, Pusat Membeli-Belah The Mall, Gadong.
