​​​​​​​​

Majlis Mengagai calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2023

29062024_Majlis Mengagai calon penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (1).jpg


Sumber : Siaran Akhbar dan Foto DBP

 


Tutong, Sabtu, 22 Zulhijah 1445/29 Jun 2024 - Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan bertanggungjawab selaku Urus Setia Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) bagi Negara Brunei Darussalam. Setiap tokoh penerima anugerah yang dipilih oleh panel penilai di negara masing-masing, dinilai berdasarkan hasil karya yang telah terbit mengikut genre yang ditetapkan oleh pihak penganjur di Bangkok, Thailand.

 

Seorang lagi penulis tanah air diangkat dan diiktiraf untuk menerima anugerah berprestij, iaitu Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award). Panel Penilai Anugerah Negara Brunei Darussalam telah sepakat memilih Kumpulan Sajak Warisan Abadi yang sekali gus mengangkat penulisnya, Yang Mulia Dr. Chong Ah Fok dengan nama pena beliau, Chong Ah Fok sebagai calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) bagi Negara Brunei Darussalam tahun 2023.

 

Chong Ah Fok mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1970-an dengan menguasai beberapa genre seperti cerpen, novel, puisi, esei, kritikan sastera dan skrip drama. Antara karya perseorangan beliau ialah Orang Asing (1985); Angin Pagi (1990); Di Atas Laut (1992), Dalam Perjalanan (1995); Titik-titik Peluh ... (2002); Musim Cuti yang Bererti (2008), Kajian Novel Terpilih Brunei Darussalam dari Perspektif Pengkaedahan Melayu (2008), Kumpulan Cerpen Yang Gugur dan Yang Tidur (2015), Kumpulan Sajak Aksara Bicara (2019) dan Kumpulan Sajak Warisan Abadi (2022).

 

Majlis Mengagai calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) bagi tahun 2023 diadakan pada hari Sabtu, 22 Zulhijah 1445/29 Jun 2024 di rumah kediaman calon penerima (Kampung Batang Mitus, Tutong).

 

Majlis ini merupakan penghargaan dan pemakluman awal mengenai pengiktirafan Dr. Chong Ah Fok sebagai calon Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, 2023. Rombongan mengagai diketuai oleh Yang Mulia Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir ialah Yang Mulia Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; Yang Mulia Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin, Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; Panel Penilai Anugerah Penulis Asia Tenggara dan Urus Setia Unit Pengiktirafan.

 

Dengan adanya Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) sebagai anugerah berprestij ini menjadi pemangkin dan penggalak kepada para penulis negara-negara Asia Tenggara termasuklah penulis tanah air untuk menghasilkan karya sastera yang berkualiti dan terbaik.


​​​​