Sumber Berita: DBP
Foto: DBP
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Syawal 1445/07 Mei 2024 - Pidato merupakan satu cabang seni pengucapan awam yang menyampaikan mesej komunikasi satu arah secara lisan untuk mengungkapkan pemikiran atau idea, menaakul konsep, menghuraikan, dan merumuskannya secara berkesan untuk ditujukan kepada khalayak atau audiens. Pidato mengandungi pelbagai kategori dan penyampaian pidato yang berkesan adalah dalam bentuk nasihat, peringatan, penegasan, mahupun sindiran. Oleh hal yang demikian, kematangan pemikiran dan melontarkan idea dapat dicungkil melalui aktiviti berpidato.
Antara objektif pertandingan adalah bagi menggemakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Tahun 2024 dan Bulan Bahasa 2023; menimbulkan rasa kecintaan dan semangat patriotisme terhadap negara; mengetengahkan peserta tempatan hingga ke peringkat antarabangsa dan luar negara, termasuk persembahan kenegaraan; meluaskan dan memantapkan pengetahuan, penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu standard yang betul dan benar; membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi untuk mampu berucap di hadapan khalayak ramai; menggalakkan remaja dan belia untuk berfikir, mengolah idea dan mengemukakan pendapat mereka berhubung sesuatu tema yang ditetapkan oleh pihak penganjur; memastikan kemahiran seni ini tidak terus lenyap ditelan zaman bagi menjana daya saing secara positif; dan meluaskan pengetahuan am dan isu-isu semasa dalam dan luar negara.
Peserta pidato juga diberi kebenaran dan kebebasan untuk menyediakan tajuk pidato yang bersesuaian dengan isu terkini/semasa yang signifikan dengan, sama ada perkembangan bahasa Melayu, pembangunan ekonomi, masa depan belia, pembangunan kapasiti, dan budaya, asalkan tidak menyentuh sensitiviti yang berkaitan dengan bangsa, ras, mempolemikkan agama, politik, ketatanegaraan, kebudayaan atau terhadap keperibadian seseorang.
Tetamu Kehormat Pertandingan Pidato Kebangsaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Tahun 2024 dan Bulan Bahasa 2023 Peringkat Akhir ialah Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara. Pertandingan tersebut diadakan secara fizikal di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas dan juga boleh diikuti melalui penstriman langsung media sosial Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pihak urus setia pertandingan telah menerima sebanyak dua puluh (20) orang penyertaan pada peringkat saringan dan hanya lima (5) orang peserta telah layak mara ke peringkat akhir. Peserta-peserta yang mara ke peringkat akhir ialah:
- Dayang Norain binti Haji A.Armin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA)
- Dayang Nurkhairah Afiqah binti Metamit, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA)
- Awang Muhd. Syahir Aqil bin Haji Muhd. Saiful Nurrizam, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB)
- Awang Muhammad Iqbaal Syakib bin Haji Suhib, Persendirian
- Dayang Syafiqah Mumtazah binti Haji Mohd Arriffen, Universiti Brunei Darussalam (UBD)
Johan pertandingan pidato akan menerima wang tunai sebanyak BND800.00, piala, sijil penghargaan dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan naib johan akan menerima wang tunai sebanyak BND600.00, plak, sijil penghargaan dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka manakala pemenang ketiga akan menerima wang tunai BND400.00, plak, sijil penghargaan dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bagi sagu hati keempat dan sagu hati kelima masing-masing akan menerima wang tunai BND200.00, plak, sijil penghargaan dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.