​​​​​​​​

Sumbangan Derma bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023

20240403-AZN_3908.jpg


Sumber : Siaran Akhbar JAPEM

Foto: Md Azinuddin - KKBS


Bandar Seri Begawan, Rabu, 23 Ramadan 1445 / 03 April 2024 - Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima sumbangan derma bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 daripada Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan ahli-ahli Bersekutu pagi tadi di bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Sumbangan berjumlah B$4,180.00 disampaikan oleh YM Pengiran Datin Hajah Salwana binti Pengiran Haji Ibrahim selaku wakil Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan ahli-ahli Bersekutu. Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada ahli-ahli kumpulan.

 

Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, pegawai-pegawai daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat serta ahli-ahli kumpulan berkenaan.

 

Tempoh kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah dilanjutkan sehingga 18 April 2024 bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk meneruskan aktiviti-aktiviti amal dan sumbangan derma kepada rakyat Palestin di Gaza.

 

Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih (100%) disumbangkan kepada tabung berkenaan. Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian sahaja dari hasil kutipan bersih yang diperolehi dari mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

 

Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh menderma secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun 00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023) atau melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas Kod QR yang boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.

 

Peti-peti tabung juga disediakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara. Di samping itu, orang ramai juga boleh menghantar derma terus kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat.


​​​​