​​​​​​​​

Tadabbur Surah At-Taubah serikan Munajat Ramadan

30032024_MunanajatRamadan(01).jpg


Sumber : Pelita Brunei

Siaran akhbar dan foto : KHEU


TEMBURONG, Sabtu, 30 Mac. - Golongan munafik lelaki dan perempuan adalah sama dalam kekufuran dan kemunafikan serta sifat-sifat buruk mereka iaitu menyuruh orang lain melakukan kemungkaran, mengkufuri Allah Subhanahu Wata'ala dan mendustakan Rasul-nya serta melarang orang lain daripada beriman dan mentaati Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasulnya.

 

Selain itu, bakhil untuk membelanjakan harta mereka pada jalan Allah dan mengabaikan Allah Subhanahu Wata'ala dengan tidak melaksanakan kewajipan yang diperintahkannya.

 

Ancaman Allah ke atas orang-orang munafik ialah dihimpunkan bersama orang-orang kafir dalam Neraka Jahanam dan kekal di dalamnya dan dijauhkan daripada rahmatnya serta ditimpakan azab yang berterusan pada hari kiamat.

 

Demikianlah antara huraian inti sari dan pengajaran ayat daripada Tadabbur Al-Quran, Surah At-Taubah, ayat 67 hingga ayat 69 yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Da'wah Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Abdul Muiz bin Haji Amat.

 

KHEU meneruskan acara Munajat Ramadan Ke-131 bersempena bulan Ramadan yang di dalamnya peluang mempertingkatkan amal ibadah dan amal kebajikan semata-mata untuk meraih kelebihan dan ganjaran pahala berlipat ganda dibukakan seluas-luasnya oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Tumpuan utama Munajat Ramadan kali ini ialah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.

 

Turut hadir bagi sama-sama menyemarakkan lagi Munajat Ramadan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

 

Munajat Ramadan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong yang juga dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir juga selaku Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau Daerah Temburong bersama para penghulu dan ketua-ketua kampung di Daerah Temburong.

 

Turut menyertai Munajat Ramadan secara maya pada awal petang kelmarin ialah warga kerja beberapa buah kementerian dan jabatan di negara ini. Mengimarahkan lagi ialah kehadiran Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah masjid dari 58 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara.

 

Munajat Ramadan kali ini juga turut diserikan dengan penyertaan para mualaf bersama rombongan dari Pusat Da'wah Islamiah (PDI), KHEU melalui Safari Munajat ke Rumah Panjang Bang Taong, Mukim Sukang, Daerah Belait.

 

Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Temburong, Jabatan Pengajian Islam, Awang Abdul Rahman bin Haji Awang.

 

Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong, KHEU, Awang Harris Hamdillah bin Haji Masri. Acara diteruskan dengan bacaan Asma Al Husna beramai-ramai oleh penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Temburong.

 

Bagi memberkati acara Munajat Ramadan, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Shafrillah bin Haji Ahmad.

 

Munajat Ramadan anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah pada bulan Ramadan ini, serta meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala dengan beristighfar, membaca Surah Yaa Siin dan ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana serta penyakit merbahaya.

 

Semoga dengan amalan ibadah pada bulan Ramadan ini, kehidupan kita dan Negara Brunei Darussalam diberkati. Penyertaan bagi Munajat Ramadan dibukakan kepada orang ramai dan dapat diikuti secara maya melalui pautan 'https://tiny.cc/munajatkheu' atau 'https://www.facebook.com/pdi.kheu'.

 


​​​​