​​​​​​​​

Kongsi kegembiraan bersama pelajar Pusat Ehsan

29032024_Majlis Buka Puasa Dental Surgeon_infofoto01.jpg

Sumber : Pelita Brunei

Berita : Aimi Sani

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 Mac. - Seramai 15 pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) diraikan pada Majlis Berbuka Puasa yang dihoskan oleh Pakar Bedah Pergigian dan Pengurus Amalan Kumpulan Pergigian Premier (Dental Surgeon and Practise Manager of the Premier Dental Group), Dr. Murali Rao dan isteri, Dr. Sumaya Rao bertempat di salah sebuah hotel di ibu negara, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad berserta isteri masing-masing.


Terdahulu, Dr. Murali Rao dalam ucapannya menjelaskan bahawa amalan berpuasa menyeru kepada amalan disiplin diri dan pengorbanan serta menunjukkan belas kasihan terhadap manusia.


Semangat Ramadan ujarnya, mengingatkan kita bahawa kita semua mempunyai kewajipan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan mendekati mereka yang memerlukan bantuan.


Bersedekah tambahnya, mengukuhkan nilai peribadi dan membina sahsiah selain mempunyai keupayaan untuk memperbaiki kehidupan orang lain adalah merupakan satu keistimewaan.


Pada majlis berkenaan, Dr. Murali Rao dan isteri, Dr. Sumaya Rao menyumbang sejumlah BND10,000 kepada Pusat Ehsan dan diterima oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Alimin bin Haji Abdul Wahab.


Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian sumbangan derma oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Dr. Murali Rao dan Dr. Sumaya Rao kepada 15 ahli Pusat Ehsan.


Sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada sumbangan peribadi dan tahunan mereka untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di bulan Ramadan.

 



​​​​