​​​​​​​​

Munajat Ramadhan

AZN_1506.JPG

K​ementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menyertai Munajat Ramadan secara maya di surau kementerian. Foto : Md Azinuddin -KKBS





Sumber : Pelita Brunei

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama


23032024_MunajatRamadan_PB-MORA.jpeg


Bandar Seri Begawan, Sabtu, 12 Ramadan 1445 / 23 Mac 2024. -  Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) meneruskan acara Munajat Kali Ke-130 dikenali Munajat Ramadhan bersempena kita berada di bulan Ramadan yang di dalamnya, peluang mempertingkatkan amal ibadah dan amal kebajikan semata-mata untuk meraih kelebihan dan ganjaran pahala berlipat ganda dibukakan seluas-luasnya oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

 

Munajat Ramadhan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim dari Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop.

 

Hadir bagi sama-sama mengimarahkan Munajat Ramadhan ialah warga kerja KHEU; warga kerja Pejabat JDBM; serta warga kerja Jabatan Mufti Kerajaan. Turut menyertai, para Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara.

 

Menyemarakkan lagi, Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop yang hadir secara fizikal dan juga maya dari 48 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara.

 

Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Pemantau Zon 3, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Awang Mohd Amin bin Haji Salim, dari Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop.

 

Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Istinbat Kanan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Haji Muhammad Ahmad Roza bin Haji Daud, dari Darulifta' Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan.

 

Acara diserikan dengan Tadabbur Al-Quran Surah Hud, Ayat 6-7 disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Salihan bin Samra, dari Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop.

 

Inti pati Tadabbur Al-Quran Surah Hud, Ayat 6-7 antara lain mengingatkan bahawa “Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala Maha Mengetahui segala sesuatu yang ada di langit dan bumi, dan Dia yang Maha Berkuasa selamanya. Tidaklah diciptakan bumi dan langit melainkan sebagai ujian dan maslahat bagi sekalian manusia agar sentiasa mentaati perintah-Nya".

 

Acara diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai oleh Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung DBM.

 

Bagi memberkati acara Munajat Ramadhan, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, JHEM, Awang Haji Symsul Nizam bin Haji Badar dari Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop.

 

Munajat Ramadhan anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah di bulan Ramadan ini, serta meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala dengan beristighfar, membaca Surah Yaa Sin dan ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam (NBD) dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

 

Semoga dengan amalan ibadah di bulan Ramadan ini, kehidupan kita dan NBD diberkati.

 

Penyertaan bagi Munajat Ramadhan dibukakan kepada orang ramai dan dapat diikuti secara maya melalui pautan 'https://tiny.cc/munajatkheu' atau 'https://www.facebook.com/pdi.kheu'.​







​​​​