​​​​​​​​

Teks Mukadimah Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan Semasa Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat Negara, Tahun 2024


Foto: Pelita B​runei


Maka berlandaskan kepada hala tuju ini, izinkan kaola menghuraikan 5 fokus strategi sebagai pelengkap kepada usaha-usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam meneruskan pelaksanaan pelan strategik Kementerian bagi Tahun Kewangan 2024/2025 yang berteraskan kepada usaha Pengupayaan, Pemerkasaaan dan Penglibatan (3P) melalui:

 

STRATEGI PERTAMA: Dalam bidang Kemasyarakatan, abis kaola terus  mengembangmaju Masyarakat Cemerlang, Bersatu Padu, Resilien dan Pemedulian; yang memfokus kepada membasmi kemiskinan dan meningkatkan mandiri serta sosio-ekonomi golongan-golongan sasaran.

 

▪ Sejumlah $23.6 Juta diperuntukkan bagi program mengembangmajukan Masyarakat Progresif termasuk penambahbaikan prasarana dan kemudahan yang merangkumi $12.9 Juta bagi Bantuan, Geran, Pemindahan dan Subsidi.

 

▪ Di samping mempertingkatkan penyediaan keperluan asas dan kemudahan sosial yang lain, Kementerian ini akan terus memberikan penekanan kepada Meningkatkan Lagi Penyelarasan Program-program Intervensi yang Disasarkan Merentas Sektor, seperti:

 

a. Pertama, Program Inovasi Belia Berwawasan (PIBB) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang dikhususkan kepada anak-anak penerima bantuan dan mengandungi module kemasukan sebagai Pelatih PKBN dalam usaha untuk meningkatkan kepimpinan, jati diri dan resilien;

 

b. Kedua, Meningkatkan lagi penglibatan Sukarelawan Belia (SB) dalam program-program kemasyarakatan; dan

 

c. Ketiga, Mengembangluaskan program pembangunan kapasiti dan kemahiran bagi golongan Orang Kelainan Upaya melalui pelbagai kaedah seperti sheltered workshops dan penempatan kerja.

 

▪ Khusus bagi sektor kemasyarakatan, Insya Allah tahun ini, Kementerian ini akan melaksanakan beberapa inisiatif yang signifikan seperti:

 

a. Pertama, Pelan Tindakan Wanita hasil dari Penyelidikan Mengenai Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam dalam mana Pelan Tindakan ini akan disediakan oleh Jawatankuasa Kerja Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak dan seterusnya dihadapkan kepada Majlis Kebangsaan Isu Sosial untuk diluluskan.

 

b. Kedua, Kajian semula garispandu Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) bagi memastikan tiada ketirisan kepada penerima bantuan;

 

c. Ketiga, Pelan Tindakan Keluarga yang baharu ke arah memperkukuhkan institusi keluarga;

 

d. Keempat, Pelan Tindakan Warga Emas ke arah penuaan berjaya (successful aging); dan

 

e. Kelima, Pelancaran Social Blueprint hasil usahasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian ini.

 

STRATEGI KEDUA: Dalam bidang Kebeliaan, abis kaola terus Menjana Belia Harapan Yang Berwawasan Sebagai Peneraju Pembangunan Negara; yang memfokus kepada mempertingkatkan dua bidang iaitu Pembentukan Jati Diri dan Modal Insan dalam kalangan Belia.

 

▪ Untuk itu, sejumlah $11.2 Juta diperuntukkan bagi program Melahirkan Belia Harapan yang Berwawasan termasuk penambahbaikan prasarana dan kemudahan yang merangkumi $3 Juta bagi Program Pembangunan dan Keusahawanan Belia; $2.1 Juta bagi Program Pengukuhan Jati Diri dan Menjana Modal Insan; dan $5 Juta bagi Program Pengupayaan Belia.

 

▪ Bagi meningkatkan lagi usaha ini, Kementerian akan memberikan penekanan kepada Menangani Impak Segera dan Pemacu Jati Diri serta Modal Insan dalam Kalangan Belia yang akan meneliti 3 objektif utama iaitu;


a. Pertama, Kajian semula metodologi dan pendekatan program-program intervensi yang lebih berinovasi dan jangka panjang seperti Progam Pembangunan Belia, Program Khidmat Bakti Negara dan Program OBBD;

 

b. Kedua, Kajian semula metodologi dan pendekatan usaha meningkatkan produktiviti dan ekonomi belia yang diperkasakan. Inisiatif yang akan diterajui oleh Youth Entrepreneurship Steering Committee (YESC) adalah:

 

Menerokai pasaran luaran melalui hubungan kerjasama mengembang maju produk atau perkhidmatan perniagaan di peringkat serantau dan antarabangsa; dan

 

Meneliti dan mewujudkan dasar yang mendukung pembangunan perusahaan sosial menggunakan pendekatan senegara (whole-of-nation) termasuk mewujudkan ekosistem perusahaan sosial yang efektif dan kondusif.

 

c. Ketiga, Kajian semula program-program intervensi yang disasarkan dapat memacu pembentukan jati diri dengan lebih terarah, selaras dan sejajar. Program-program ini akan berasaskan aspek perpaduan, MIB dan pemartabatan budaya, warisan dan sejarah.

 

STRATEGI KETIGA: Dalam bidang Kesukanan; abis kaola terus memantapkan Pengukuhan Ekosistem Sukan Supaya Lebih Inklusif dan Cemerlang; yang memfokus kepada sukan prestasi tinggi dan sukan untuk masyarakat.

 

▪ Sejumlah $16.7 Juta diperuntukan bagi program Mengukuhkan lagi Ekosistem Sukan yang merangkumi $7.8 Juta bagi Pemeliharaan Prasarana dan Aset; $2.1 Juta bagi Memantapkan Sukan Prestasi Tinggi iaitu; $700 Ribu bagi Pembangunan Persatuan-persatuan Sukan; dan $1.8 Juta bagi Pembangunan Keupayaan Atlet dan Jurulatih secara keseluruhan.

 

▪ Bagi meningkatkan lagi usaha ini, Kementerian akan memberikan penekanan kepada Mengkaji Semula Peranan Sukan Dalam Pembangunan Masyarakat yang akan meneliti 6 objektif utama;

 

a. Pertama, Meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pengamalan gaya hidup sihat, aktif dan cergas sepanjang hayat secara inklusif;

 

b. Kedua, Memperluas perkongsian dan pelaburan swasta atau pertubuhan bukan kerajaan untuk membantu dalam pertumbuhan modal, pembiayaan dan meningkatkan pendapatan sektor kesukanan;

 

c. Ketiga, Memanfaatkan media sosial mempromosikan peranan sukan dalam gaya hidup sihat, kesihatan mental dan fizikal termasuk aspek kepimpinan merentas generasi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang efektif. Objektif ini boleh menjurus kepada:

 

Meningkatkan peranan atlet sebagai sports influencers, dalam mana organisasi sukan boleh memanfaatkan atau meneroka jenama atau menjadi role model dalam pembangunan sukan; dan

 

Menggalakkan penglibatan peminat sukan untuk memberikan pandangan konstruktif bagi mengembangmaju dan meningkatkan prestasi sukan negara.

 

d. Keempat, Meningkatkan pemerkasaan dan penglibatan golongan OKU dengan meningkatkan bantuan prasarana dan akses kemudahan sukan;

 

e. Kelima, Mendukung pelancongan sukan dengan menggalakkan penganjuran kejohanan dan festival sukan serantau dan antarabangsa seperti 2nd SEA Age Group Swimming Championships pada bulan April 2024, 1st International Wushu Championships pada bulan Mei 2024 dan Kejohanan Wushu Remaja Dunia Kali Ke-9 pada bulan September 2024; dan

 

f. Keenam, Mengkaji kesesuaian Indeks Pembangunan Sukan bagi mengukur kemajuan dan impak sukan kepada sosio-ekonomi negara yang antara lain memfokuskan kepada literasi fizikal, penglibatan, kesihatan, kecergasan, ruang / kemudahan bagi sukan dan ekonomi.

 

STRATEGI KEEMPAT : Dalam bidang Kebudayaan; abis kaola terus Meningkatkan Pelestarian Budaya, Warisan dan Sejarah; yang memfokus kepada mendaulatkan Bahasa Melayu, Tulisan Jawi dan penerapan budaya, warisan serta sejarah.

 

▪ Sejumlah $26.5 Juta telah diperuntukkan bagi Program Mengukuhkan Jati Diri dan Patriotisme termasuk Program Pembinaan, Penerapan dan Penghayatan Warisan, Budaya dan Sejarah serta Penambahbaikan Prasarana dan Kemudahan, yang merangkumi $2.2 Juta bagi Mengukuhkan Kegiatan Bahasa, Sejarah dan Seni Budaya; $7.7 Juta bagi Bahasa, Sastera dan Perpustakaan; dan $3.4 Juta bagi Mengukuhkan Penyelidikan, Pendokumentasian dan Pemeliharaan Bahasa, Sejarah dan Budaya.

 

▪ Bagi meningkatkan lagi usaha ini, Kementerian akan memberikan penekanan kepada Menerokai lagi Peranan Mendaulatkan, Memajukan dan Memelihara Warisan Budaya. Ke arah ini, Kementerian akan meneliti 3 objektif utama;

 

a. Pertama, Meningkatkan lagi imej Negara Brunei Darussalam di peringkat serantau dan antarabangsa. Dikongsikan, salah satu lagi warisan budaya tidak ketara yang akan dicalonkan ke UNESCO ialah, pantun Melayu;

 

b. Kedua, Menerokai lagi pemberdayaan warisan budaya tak ketara dalam kalangan masyarakat seperti memperkasa ekspresi budaya, memanfaatkan media kreatif dan platform digital yang berasaskan budaya; dan

 

c. Ketiga, Melaksanakan kaji selidik peningkatan kefahaman dan penghayatan budaya, warisan dan sejarah yang akan memberikan gambaran tahap kefahaman, pengetahuan dan penerapan terhadap budaya, warisan dan sejarah dalam kalangan generasi muda dan masyarakat secara amnya.

 

STRATEGI KELIMA: Abis kaola terus Memastikan Perkembangan Sistem dan Proses Yang Efisien, Efektif dan Tepat Pada Masa; yang memfokus kepada meningkatkan pengoptimuman sumber dan pembangunan sektor-sektor di bawah Kementerian, termasuk pengurusan aset bagi menambahbaik kecekapan operasi, produktiviti dan pulangan pelaburan.

 

▪ Untuk itu, sejumlah $7.2 Juta diperuntukkan bagi program Peningkatan Kemahiran, Pengoptimaan Penggunaan Digital Teknologi dan penambahbaikan prasarana serta kemudahan yang merangkumi $504 Ribu bagi program Pembangunan Sumber Manusia dan $1.8 Juta bagi program Pengurusan Aset.

 

▪ Bagi meningkatkan lagi usaha ini, Kementerian ini akan memberikan penekanan kepada Membentuk Semula dan Mengembangkan Model Penjanaan Pendapatan dengan menarik lebih banyak penglibatan agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Abis kaola akan meneliti 6 objektif utama;

 

a. Pertama, Kajian semula pengurusan aset melalui program konsolidasi fiskal yang berimpak dengan nilai tambah;

 

b. Kedua, Kajian semula pendekatan pengemaskinian dan penstrukturan semula fungsi perkhidmatan yang disasarkan menjurus kepada penswastaan dan pembangunan korporat;

 

c. Ketiga, Memantapkan tadbir urus sistem dan proses dengan memanfaatkan digital dan teknologi supaya perkhidmatan kepada pelanggan akan menjadi lebih efisien dan berkesan;

 

d. Keempat, Meneroka dan meneliti semula perkhidmatan menjana pendapatan seperti memanfaatkan penyelidikan dan data (data monetization) serta penggunaan kemudahan;

 

e. Kelima, Menerokai lagi kerjasama melalui tanggungjawab korporat sosial (CSR) bagi membiayai program-program pembangunan kapasiti; dan

 

f. Keenam, Melaksanakan penambahbaikan hasil dapatan dari Hari Mesra Pelanggan KKBS 2023.​



Baca Teks Penuh 




​​​​