​​​​​​​​

Majlis Pelancaran Dan Penganugerahan Logo Bagi Tahun Pertukaran Rakyat-Ke-Rakyat ASEAN-China

01022024_ACYPEE (3).jpeg


Sumber : Siaran Media & Foto KKBS


BANDAR FUZHOU, WILAYAH FUJIAN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, 20 Rejab 1445 / 1 Februari 2024 – Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, menghadiri Majlis Pelancaran Tahun 2024 Sebagai Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat Bagi ASEAN-China (“2024 as the ASEAN-China Year of People-to-People Exchanges")(ACYPPE) di Bandar Fuzhou, Wilayah Fujian, Republik Rakyat China pada 1 hingga 2 Februari 2024.

 

Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (Bersara) Dato Paduka Haji Abdu'r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China.

 

Tahun 2024 ditetapkan oleh Ketua-ketua negara ASEAN dan Republik Rakyat China sebagai Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China, untuk memupuk kerjasama pelbagai bidang termasuk budaya, pendidikan, belia, pelancongan, dan sukan, dan untuk mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat melalui pelbagai program pertukaran.

 

Majlis Perasmian Pelancaran tahun 2024 sebagai Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China berlangsung di Fuzhou Straits International Conference and Exhibition Center, dan telah disempurnakan oleh Puan Yang Terutama Shen Yiqin, State Councilor, dan President of All China Women's Federation bersama Tuan Yang Terutama Kikeo Khaykhamphithoune, Timbalan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao.

 

Terdahulu sebelum majlis perasmian, Yang Mulia Setiausaha Tetap juga telah menghadiri Mesyuarat Kolektif yang dipengerusikan oleh Puan Yang Terutama Shen Yiqin dengan kehadiran kesemua wakil Ahli Negara ASEAN, Republik Rakyat China dan Timor Leste.

 

Seterusnya, rombongan menghadiri Pelancaran ASEAN-China Spring Festival di Maritime Silk Road Culture Square, Fuzhou. Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan turut serta dalam perayaan tersebut dengan mempamerkan permainan tradisi Melayu Brunei, iaitu permainan congkak, pasang, simban dan lain-lain sebagai warisan budaya tidak ketara Brunei kepada Republik Rakyat China dan delegasi ASEAN.

 

Turut dianjurkan ialah beberapa Dialog yang membincangkan tiga tajuk utama mengenai Wanita, Belia dan Kebudayaan. Yang Mulia Setiausaha Tetap telah ikut serta dengan menyampaikan ucapan dalam dialog bertajuk “Diverse Perspectives for a Shared Future".

 

Dalam ucapan tersebut, beliau berkongsi mengenai inisiatif Negara Brunei Darussalam ke arah pembangunan belia selaku aset negara yang mempunyai kepentingan seperti penglibatan dalam penggubalan dasar, termasuk selaku Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

 

Turut ditekankan juga kepentingan ke arah menggalakkan kesukarelawanan dan kerja kemasyarakatan bagi membentuk kumpulan belia yang penyayang dan mempunyai nilai- nilai murni. Selain itu, belia juga harus dilengkapkan dengan kemahiran yang relevan ke arah mempersiapkan “Belia Siaga Masa Depan". Pada akhir ucapan Yang Mulia Setiausaha Tetap berharap adanya platform baharu diwujudkan bagi mengembangmajukan hubungan yang lebih kukuh diantara ASEAN-China melalui program pertukaran dan interaksi dalam kalangan belia.

 

Bergambar ramai Sesi Dialog Selari “Diverse Perspectives for a Shared Future" Untuk terus memupuk pertalian budaya, persefahaman yang lebih mendalam dan persahabatan yang erat antara rakyat Negara Anggota ASEAN dan Republik Rakyat China, Pusat ASEAN-China (ASEAN China Centre), dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Rakyat China dan Persatuan Rakyat China untuk Persahabatan dengan Negara-negara Asing (China People Association for Friendship with Foreign Countries) telah menganjurkan Peraduan Reka Cipta Logo Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China.

 

Seramai lebih kurang 1,300 penyertaan daripada Negara ASEAN dan Republik Rakyat China telah menyertai peraduan ini termasuk dari Negara Brunei Darussalam. Salah seorang peserta dari Negara Brunei Darussalam, Dayang Huifong Ng, telah diumumkan sebagai salah seorang pemenang daripada lima pemenang di tempat ketiga. Huifong Ng merupakan seorang artis potret yang memenangi banyak anugerah, juga seorang penyair, pengarang, pendidik seni dan pengasas Galeri Seni Huifong, sebuah galeri perundingan seni profesional dengan kerjasama antarabangsa dan serantau. Beliau juga merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Persatuan Persahabatan Brunei-China.

 

Hadir mengiringi Yang Mulia Setiausaha Tetap ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


01022024_ACYPEE (2).jpeg 01022024_ACYPEE (1).jpeg 01022024_ACYPE (4).png



​​​​