Sumber : Pelita Brunei
Berita : Aimi Sani - Penerangan
Foto : Md Aiman Sufyan - JAPEM
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Disember. - Bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya 2023, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) petang tadi mengadakan Majlis Qalbun Salim bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPD), Kampung Manggis/ Madang, di sini.
Majlis yang berkebajikan ini adalah sebagai melahirkan rasa syukur dan salah satu tanda penghargaan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang meraih pencapaian dalam perkembangan masyarakat.
Lebih kurang 200 orang menghadiri majlis tersebut yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid SSBRPD, Kampung Manggis/ Madang, Awang Muhd. Khaizuran Amali bin Haji Kamsani dan diteruskan dengan ceramah khas bertajuk 'Syukuri Anugerah Ilahi' yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.
Antara intipati tazkirah khas berkenaan adalah menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tidak pernah menyisihkan hamba-hambaNya sama ada dilahirkan sempurna ataupun yang dilahirkan dengan kelainan upaya melainkan melihat kepada hati dan amalan mereka.
Bahkan, Islam juga mengajar supaya menyantuni OKU dalam semua hal sama ada urusan duniawi ataupun ukhrawi lebih-lebih lagi dalam perihal ibadah.
Majlis seterusnya diselajurkan dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, Doa Kesyukuran Khas OKU, doa memohon kepada Allah supaya terhindar dari Wabak COVID-19 dan Doa Keselamatan untuk rakyat dan negeri Palestin.
Majlis diakhiri dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Imam masjid berkenaan, Awang Muhd. Khaizuran Amali
Pada majlis keagamaan berkenaan juga dijemput seorang Juru Alih Bahasa Isyarat, Awang Aziz bin Assan dari Persatuan Bahasa Isyarat-Juru Alih bahasa Kitani (BI-JAK) bagi menggalakkan masyarakat yang inklusif maklumat terutama kepada golongan OKU Pendengaran.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir ialah Setiausaha–setiausaha Tetap, Pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya, Ahli-ahli Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dan persatuan-persatuan di bawahnya serta rakan-rakan strategik KKBS.