Sumber : Siaran Akhbar Jabatan Pembangunan Masyarakat
Foto : Ak Hussni - KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 Jamadilawal 1445 / 15 November 2023 - Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad menerima sumbangan bagi Tabung Anak-anak Yatim berjumlah BND3,000 daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) petang tadi di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sumbangan yang diserahkan berkenaan adalah sebahagian daripada hasil kutipan yuran larian acara UBD Run 2023 yang diadakan pada 15 Oktober 2023 lalu sempena meraikan graduan Konvokesyen UBD Ke-35 dan pengambilan para pelajar UBD bagi kohort Ogos 2022/2023 yang baharu menamatkan Freshers' Week.
Kempen berkenaan merupakan platform bagi komuniti UBD dan orang ramai untuk sama-sama melibatkan diri dalam aktiviti fizikal dan menggalakkan gaya hidup sihat sambil menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor, UBD, Dr. Awang Hazri bin Haji Kifle.
Turut hadir menyaksikan penyerahan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), Profesor Madya Pengiran Dr. Mohd. Iskandar bin Pengiran Haji Petra; dan Pemangku Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran), para pegawai kanan daripada UBD dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.