.jpg)
Sumber : Siaran Media JAPEM
Foto : Md Azinuddin - KKBS, Mastinah, Pg Md Fawzy, Ehzha - PSB dan Aiman Sufyan - JAPEM
Jumaat, 10 November 2023- Bersempena dengan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) Negara Brunei Darussalam kali ke-11, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengadakan acara “Festival Keluarga Harmoni" selama tiga (3) hari bermula 10 hingga 12 November 2023 yang akan berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan.
Berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Festival itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. Keberangkatan Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Penasihat Bersama dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2023 dan Datin, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Berangkat sama ke majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad
Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd Yakub. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini seterusnya dijunjung bagi merasmikan pelancaran Festival Keluarga Harmoni di Centre Stage, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Selesai acara perasmian, Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia kemudian dijunjung berangkat melawat ke 'One Stop Family Hub" dan menyaksikan pameran.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia seterusnya dijunjung berangkat untuk menyaksikan persembahan daripada Makan Ceria Sdn Bhd di Centre Stage dan meneruskan lawatan ke Open Plaza Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi menyaksikan Aktiviti Riadah Keluarga, Pameran Info Keluarga dan Aktiviti Keusahawanan.
Turut hadir ke majlis pelancaran tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan rakan-rakan strategik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berserta ahli keluarga masing-masing.
Tujuan utama Festival Keluarga Harmoni ini diadakan adalah untuk menyatukan, menyantunkan dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dengan penuh rasa kasih sayang, tanggungjawab serta memupuk rasa hormat-menghormati dan juga pemedulian dalam diri setiap keluarga, khususnya sempena Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2023, dengan slogan “Keluargaku Harapanku" dan juga dengan mengambil kira fokus HKK2023 adalah Menerapkan Nilai-Nilai Teras Kekeluargaan Brunei: SaTu HaraPan (Sayang Menyayangi: Tanggungjawab: Hormat-menghormati: dan Pemedulian).
Dengan berkonsepkan “One Stop Family Hub", festival ini menyatukan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan persatuan badan-badan bukan kerajaan di Negara Brunei Darussalam yang dilaksanakan secara pendekatan senegara (Whole of Nation). Festival ini mengandungi empat (4) konsep iaitu pameran info keluarga dan mini aktiviti, aktiviti riadah keluarga, aktiviti keusahawanan dan aktiviti santai seperti melihat wayang sambil berkelah di taman bersama keluarga. Antara pengisian aktiviti yang akan berlangsung sepanjang festival ini termasuklah;
i. Pameran Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak; Unit Kaunseling serta Talian Kebajikan 141 dan Talian ANAK 121 daripada JAPEM;
ii. Permainan tradisi, jualan buku dan Jejak Warisan Brunei daripada Jabatan Muzium-Muzium;
iii. Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak, pendaftaran keahlian dan aktiviti mewarna daripada Dewan Bahasa dan Pustaka;
iv. Kenali Sejarah Brunei, aktiviti salasilah dan jualan buku daripada Pusat Sejarah Brunei;
v. Pemberigaan Aplikasi “Mengalinga" daripada Jabatan Belia dan Sukan;
vi. Pameran Program Khidmat Bakti Negara;
vii. Tunjuk cara mengikat Dastar dan Sinjang daripada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, KKBS;
viii. Pameran pemberigaan Perkhidmatan daripada Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama;
ix. Klinik bimbingan solat, Al-Fatihah dan Syahadah daripada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB);
x. Pameran Pusat PRIHATIN Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB);
xi. Pameran daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Brunei;
xii. Kenali Negara Kitani (KNK) daripada Jabatan Kemajuan Pelancongan;
xiii. Rakan Seliaan dan tunjuk cara perlaksanaan hukuman sebat daripada Jabatan Penjara;
xiv. Pameran Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB);
xv. Pameran dari Kumpulan Harmoni di bawah Program Eksekutif Muda yang ke-8;
xvi. Pameran daripada Zahara Charity Foundation;
xvii. Penyediaan aktiviti penjagaan diri daripada Selfcare Support Network;
xviii. Food streets, food trucks, food vendors dan jualan produk-produk Pusat Bahagia;
xix. Kuiz Kahoot dan juga permainan keluarga.
Festival ini akan berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan selama 3 hari bermula pada:
• Hari Jumaat 10 November 2023, pukul 4.00 petang hingga 10.00 malam;
• Hari Sabtu, 11 November 2023, pukul 2.00 petang hingga 10.00 malam;
• Hari Ahad, 12 November 2023, pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengahari dan 2.00 petang
hingga 10.00 malam.
Antara aktiviti menarik yang boleh disertai oleh orang ramai bersama keluarga ialah Aktiviti Riadah Keluarga “SaTu HaraPan" yang akan diadakan pada hari Ahad 12 November 2023 pada pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengahari di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan.
Antara permainan keluarga yang boleh diikuti ialah Amazing Race Keluarga, Alpha Challenge. Hadiah berupa hamper barangan dapur bernilai sehingga $50.00 juga akan diberikan kepada pemenang-pemenang. Pendaftaran bagi mengikuti permainan keluarga ini bolehlah dibuat pada hari tersebut bermula jam 6.30 pagi.
Disamping itu diadakan juga tazkirah bertajuk “Menerapkan Nilai-Nilai Teras Kekeluargaan Brunei: SaTu HaraPan" juga akan diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien selepas sembahyang Fardhu Maghrib pada hari Jumaat dan Ahad.
Oleh itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan pada 10 hingga 12 November 2023 bagi menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan di sana bagi sama-sama memeriahkan festival ini. Pelbagai hadiah menarik juga bakal dimenangi bagi yang menyertai aktiviti tersebut. Di samping itu, para pengunjung juga berpeluang untuk membeli-belah dan menyokong usahawan tempatan yang dibukakan di sepanjang Open Plaza Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan kawasan letak kereta Waterfront.
.jpg)
.jpeg)
.jpg)