.jpg)
Sumber : Pelita Brunei
Oleh : Haniza Abdul Latif
Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
LAMBAK KANAN, Isnin, 6 November. - Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Brunei dan Muara (PKWE DBM) mengadakan Majlis 10 kali Khatam Al-Quran sempena Memperingati 10 Tahun Penubuhan pusat berkenaan.
Hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan 2, Jalan 77, Perumahan Negara Lambak Kanan, ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Bilal Masjid Suri Seri Begawan, Kampung Manggis / Madang, Awang Raziman bin Haji Ramli.
Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan kata alu-aluan oleh Pengurus PKWE, Awang Haji Mohd Yussof bin Mohd Salleh yang antara lain mengongsikan mengenai tujuan majlis diadakan iaitu bagi menyambut 10 tahun penubuhan PKWE DBM dengan membaca Al-Quran sehingga 10 kali khatam.
Awang Haji Mohd. Yussof turut mengongsikan mengenai acara-acara yang akan diadakan selama tujuh hari sempena Penubuhan PKWE Ke-10 Tahun iaitu Majlis Doa Kesyukuran dan Solat Asar Berjemaah; Majlis Khatam Al-Quran 10 kali Khatam; Pertandingan Berdikir; Pertandingan Urusan Rumah Tangga; Majlis Tahlil; Pertandingan Lagu-Lagu Asli; Sukan Ria dan aktiviti jualan di gerai di pusat tersebut.
Setelah itu, majlis disusuli dengan perasmian bagi memperingati 10 tahun Penubuhan PKWE DBM oleh tetamu kehormat, dan diselajurkan dengan Majlis Khatam Al-Quran juga oleh tetamu kehormat.
Bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran telah dikepalai oleh Awang Raziman bin Haji Ramli.
PKWE DBM ditubuhkan pada 12 Mac 2013, di mana Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan merasmikan pusat berkenaan.
Penubuhan PKWE dihasrat menjadi platform untuk membolehkan warga emas untuk bergiat lebih aktif, terutamanya dalam menyumbang khidmat bakti yang berterusan kepada negara dan berfungsi sebagai satu pusat bagi warga emas menjalankan program serta aktiviti harian yang bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada golongan warga emas yang melibatkan kerjasama rakan strategik di antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat setempat sebagai kaedah Whole of Nation.
Ia juga merupakan pusat dukungan masyarakat setempat (community support centre) bagi semua lapisan generasi yang memberikan akses secara inklusif, iaitu mengeratkan jalinan rangkaian di antara warga emas, belia, orang kelainan upaya dan masyarakat setempat.
PKWE juga bertujuan sebagai pusat menimba ilmu pengetahuan, mengisi masa lapang dan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang, seperti riadah, keagamaan, kesihatan, sosial dan lain-lain ke arah mencapai matlamat-matlamat dalam Pelan Tindakan Warga Emas.
Pada masa yang sama, PKWE dihasrat untuk menyokong pembangunan warga emas melalui persekitaran yang membolehkan mereka meningkatkan kualiti hidup warga emas yang produktif dan berdikari melalui penuaan aktif (active ageing) menerusi penyediaan 'community support centre'.