​​​​​​​​

​ Larian amal memperingati Hari Kesedaran Autisme Sedunia



05112023_Smarter Run (1).jpg 


Sumber : Pelita Brunei

Berita : Marlinawaty Hussin - Penerangan

Foto : Pg Md Fawzy - PSB, Md Azinuddin - KKBS 

 

 

​ 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 5 November. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama SMARTER Brunei mengadakan Larian Amal 'Anak Adalah Anugerah' sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia, Tahun 2023 di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

 

Larian amal ini diadakan bagi memperingati Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang pada tahun ini bertemakan 'Mengubah Naratif : Sumbangan untuk pelajar dan individu autisme di Rumah, di tempat Kerja, dalam Kesenian, dan dalam menggubal Dasar' secara besar-besaran, di samping membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai individu dan pelajar autisme.

 

Selain itu, larian juga bertujuan untuk mengumpulkan dana yang akan disalurkan kepada pihak SMARTER Brunei, Tabung IKHLAS dan Tabung Pendidikan Khas.

 

Larian tersebut dibahagikan terbahagi kepada lima kategori, iaitu Kategori Lelaki Terbuka 5 kilometer (km), Kategori Wanita Terbuka 5km, Kategori Pelajar Berkeperluan Khas Lelaki 3km, Kategori Pelajar Berkeperluan Khas Wanita 3km, dan Kategori Berjalan/Larian/Berkerusi Roda 1.5km bagi orang awam dan pelajar berkeperluan khas.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan pelepasan peserta bagi Kategori Wanita Terbuka ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

 

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar yang menyempurnakan pelepasan peserta Kategori Lelaki Terbuka.

 

Turut hadir semasa acara tersebut ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Pada larian tersebut, Hulubalang Asgar Awang Abd Malik bin Awang Hidup dan Noorhanisah binti Haji Abd Ghani masing-masing dinobatkan johan bagi Kategori Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka; Ruzaini bin Mahadi dan Tho Siaw Khim menyandang naib johan; manakala Muhammad Fathurrahman bin Haji Zulkifli dan Hafizatol Hamiroldzam memenangi tempat ketiga.

 

Sementara itu, Md Rasuli @ Muhammad Risqie bin Rosli dan Sarah Nursyifa binti Ashrul Faizal dinobatkan johan bagi Kategori Pelajar Berkeperluan Khas Lelaki dan Pelajar Berkeperluan Khas Wanita; Mohd Adran Shah bin Mohd. Azrie dan Syahindah binti Abdul Rahim menyandang naib johan; manakala Muhammad Sahrazeen bin Samat dan Safirah binti Affendi memenangi tempat ketiga.

 

Semasa larian amal tersebut, para peserta dan orang ramai juga boleh mengikuti pelbagai aktiviti termasuk permainan mencari harta karun, permainan teka-teki, melukis wajah, sepak bola, permainan guli, dan Zumba dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran awam tentang pelbagai keperluan pembelajaran di sekolah.


05112023_Smarter Run (2).jpg05112023_Smarter Run (3).jpg

 

​​​​