Sumber : Siaran Akhbar PSB
Foto : Md Azinuddin - KKBS
Bandar Seri Begawan, Isnin, 15 Rabiulakhir 1445 / 30 Oktober 2023 - Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei telah mengadakan Pertandingan Kuiz Sejarah Piala Pehin Jawatan Dalam Kali Ke-3 Tahun 2023, Peringkat Akhir membawa tema “Sejarah Pengukuh Jati Diri Bangsa" yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Seramai lapan orang pelajar dari empat buah sekolah menengah berentap di Peringkat Akhir ini iaitu Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong; Sekolah Ma'had Islam Brunei; Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab ; dan Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Kuala Belait. Setiap sekolah diwakili oleh dua orang pelajar.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir Yang Mulia Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei.
Pertandingan dijuarai oleh Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong dengan memperoleh 69 markah dan menerima wang tunai sebanyak $1,000, cenderamata, sijil penyertaan dan piala rebutan.
Naib Johan disandang oleh Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab dengan memperoleh 65 markah dan menerima wang tunai sebanyak $800.00, cenderamata dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga ialah Sekolah Ma'had Islam Brunei dengan memperoleh 56 markah dan menerima wang tunai sebanyak $600.00, cenderamata dan sijil penyertaan.
Tempat keempat pula ialah Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Kuala Belait dengan memperoleh 45 markah dan menerima wang tunai sebanyak $400.00, cenderamata dan sijil penyertaan.
Objektif pertandingan adalah bagi menggalakkan para pelajar untuk meninati sejarah; mengembangkan bakat dan minat para pelajar dalam bidang sejarah, budaya dan warisan; memberi kesedaran kepada generasi muda tentang kepentingan mempelajari sejarah dan hubungannya kepada pengukuhan jati diri dan pembangunan negara bangsa; menggalakkan persaingan dalam kalangan pelajar sekolah menengah; dan menanamkan perasaan cintakan Raja, Agama, Bangsa dan Negara.