Sumber : Pelita Brunei
Berita : Saerah Haji Abdul Ghani - Penerangan
Foto : Md Aiman Sufyan - JAPEM
BERAKAS, Jumaat, 12 Rabiulakhir 1445 / 27 Oktober 2023. - Dengan kerjasama demensia Brunei (dB), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta disokong oleh Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) menganjurkan Persidangan Serantau Asia Pasifik Antarabangsa Penyakit Alzheimer (ADI) 2023 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Persidangan akan diadakan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Oktober 2023.
Hadir selaku kehormat dan seterusnya merasmikan pembukaan persidangan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pemangku Menteri Kesihatan dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sementara itu, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dalam ucaptamanya, mengongsikan dua keutamaan strategik dalam rangka kerja iaitu pertama ialah 'Membina Keluarga yang Lebih Kuat dan Berdaya Tahan sebagai asas Ekonomi Penjagaan' dan kedua, 'Meningkatkan Perlindungan Sosial, Tanpa Meninggalkan Sesiapa'.
Menurutnya, ia amat penting bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), menyokong institusi keluarga yang kukuh sebagai penyedia penjagaan utama untuk ahli mereka yang terdedah.
Terdahulu tambahnya, untuk terus menjaga kesihatan dan kebajikan warga emas, Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Warga Emas baru ditubuhkan bersama Kementerian Kesihatan dan KKBS di mana pelan baharu itu tertumpu kepada pendekatan strategik untuk penuaan yang berjaya, dengan melihat kepada konsep holistik untuk meningkatkan fungsi fizikal, psikologi dan sosial warga emas serta memberi penekanan yang sama pada penuaan yang sihat, aktif serta produktif.
“Bagaimanapun, NBD merupakan sebuah negara yang mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh, dan kami menyedari betapa pentingnya institusi kekeluargaan mengambil peranan utama dalam menjaga warga emas, agar mereka akan terus dijaga dan tidak ketinggalan.
“Sebagai unit asas masyarakat, peranan yang dimainkan oleh institusi keluarga yang kukuh dan harmoni adalah penting dan selaras dengan Wawasan Brunei 2035 untuk mencapai Kualiti Hidup yang Tinggi," ujarnya.
NBD telah dipilih sebagai penganjur persidangan pada tahun ini dan lebih 350 peserta dari luar dan dalam negara dijangka akan menghadiri persidangan tersebut.
Praktikal penjagaan, teknik terapi dan bengkel mengenai Demensia juga akan turut diadakan semasa persidangan itu nanti. Lebih dari 40 penyertaan daripada 13 buah negara (seperti Malaysia, Taiwan, Jepun, Australia dan sebagainya) akan menyertai persidangan itu.
Persidangan tersebut bertujuan bagi memberikan dan berkongsi maklumat yang terkini, inovatif dan pelbagai melalui rangkaian global daripada individu pelbagai latar belakang dan kepakaran sekali gus dapat menjalin hubungan antara para peserta dalam negara malahan pada tahap global.
Selain itu, ia juga bertujuan memberi peluang para penyelidik, ahli sains dan kesihatan, penghidap Demensia, penjaga dan sukarelawan yang mempunyai minat mengenai isu Demensia dan cara penjagaan.
dB adalah organisasi bukan kerajaan yang menitikberatkan hak individu dengan penyakit demensia yang kebanyakannya melibatkan warga emas.
Antara matlamat dB adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit Demensia, menyediaan informasi dan maklumat tentang Demensia dan meningkatkan standard penjagaan bagi pesakit Demensia.
.jpg)