Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam
Sumber : Siaran Media KKBS
Foto : Muhd Azinuddin – KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 21 Rabiulawal 1448/3 September 2026 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya (KKBS) telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H/2026M di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada hari ini. Majlis ini diselenggarakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan, Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk “Dengan Akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Kita Membina Keluarga” yang disampaikan oleh penceramah undangan, Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Penolong Pensyarah/Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Ceramah tersebut menekankan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan asas penting dalam pembentukan individu, keluarga, organisasi dan masyarakat yang sejahtera dan seterusnya menghuraikan nilai-nilai utama seperti rahmah, amanah, kejujuran, sabar, adil, tawaduk dan sikap saling menghormati sebagai panduan dalam kehidupan seharian. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, penghayatan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam turut dikaitkan dengan pengukuhan nilai Melayu Islam Beraja (MIB), khususnya dalam membina keluarga yang harmoni, organisasi yang berintegriti serta masyarakat yang aman dan bertanggungjawab. Ceramah berkenaan turut menekankan bahawa pembinaan negara yang kukuh bermula daripada pembentukan insan berakhlak, seterusnya melahirkan keluarga yang baik, organisasi yang amanah dan masyarakat yang saling menghormati.
Majlis diakhiri dengan Dikir Marhaban oleh pelatih-pelatih Pusat Pembangunan Belia, diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan, Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, serta bacaan Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar secara beramai-ramai.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis ini merupakan antara program tahunan keagamaan anjuran KKBS yang bertujuan untuk memeriahkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Di samping itu, ia juga diadakan bagi mengingati jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan syiar Islam, seterusnya menyemai rasa kasih dan cinta terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
