Sub Heading
Hari Bakarih YSHHB 2026 platform tingkatkan usahawan tempatan
Sumber : Pelita Brunei
Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 November. – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini mengadakan Majlis Pelancaran Hari Bakarih YSHHB 2026 (HBY 2026) yang berlangsung di Kompleks YSHHB, di ibu negara.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan HBY 2026 ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan YSHHB.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB; dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.
HBY merupakan platform perniagaan bagi memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh Usahawan Bakarih Yayasan (UBY), iaitu para pengusaha yang mendapat manfaat daripada program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan YSHHB.
