Sub Heading
Festival ketengahkan kebudayaan tradisional, moden Jepun
Sumber : Pelita Brunei
Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 November. – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam (NBD) menganjurkan Festival Kebudayaan Jepun 2026 selama dua hari, bermula hari ini hingga 8 November 2026, bertempat di Times Square Shopping Centre, di sini.
Penganjuran festival kali ke-12 itu bertujuan memperkenalkan kebudayaan tradisional dan kontemporari Jepun kepada masyarakat di negara ini melalui pelbagai persembahan pentas, bengkel dan reruai pameran.
Sebagai acara pembuka tirai, satu bengkel ‘Ikebana’, iaitu seni gubahan bunga tradisional Jepun, telah diadakan pada 6 November lalu di Laksamana College of Business (LCB).
Bengkel berkenaan disertai kira-kira 30 peserta yang berpeluang mempelajari seni gubahan bunga Jepun di bawah bimbingan guru ‘Ikebana’ bertauliah dari Jepun, Taniguchi Chieko.
Sementara majlis perasmian festival yang berlangsung petang tadi disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid, selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, dan Pengurus Besar Times Square Shopping Centre, Dayang Amal Majidah Haji Suhaili.
