gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

BWN Coffee Convention Ke-9 Kembali Lebih Meriah, Meraikan Sembilan Tahun Budaya Kopi dan Keusahawanan Tempatan

 

Sumber : Siaran Media BigBWN
Foto : Muhd Azinuddin – KKBS

 

JERUDONG, KHAMIS, 1 OKTOBER 2026 — Acara yang dinanti-nantikan, BWN Coffee Convention (CoffeeCon) 2026, secara rasminya kembali bagi edisi ke-9, menghimpunkan para pembuat kopi, usahawan tempatan, serta penggemar kopi dari seluruh negara. Dianjurkan oleh Big BWN Project dari 2 – 4 Oktober di Sports Hub, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), penganjuran tahun ini dikuasakan secara rasmi oleh Baiduri Bank melalui teknologi Tap 2 Pay.

Sejak julung kali diadakan pada tahun 2016 dengan hanya 7 vendor, CoffeeCon kini telah berkembang pesat menjadi sebuah acara kebangsaan terkemuka yang menampilkan hampir 70 vendor pada tahun ini, termasuk penyertaan dari dalam rantau ini dan negara-negara jiran. Perkembangan pesat ini membuktikan kemajuan budaya kopi tempatan serta keteguhan ekosistem keusahawanan belia di Brunei Darussalam.

Majlis Pembukaan Rasmi telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Michael Hoy, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli diplomatik, serta wakil-wakil pengurusan tertinggi rakan-rakan kerjasama. 

“Tanpa komuniti yang luar biasa ini, CoffeeCon tidak akan ada, perniagaan kopi ini tidak akan berkembang, dan komuniti kita tidak akan menjadi seperti apa yang kita lihat pada hari ini,” kata Dayang Noor Hafizah binti Haji Rashid, Pengasas Big BWN Project dan BWN Coffee Convention. “Kami amat terhutang budi kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha kerdil kami sepanjang sembilan tahun ini, terutamanya mereka yang sentiasa mempercayai dan menyokong potensi belia kita.” 

Atas pegangan bahawa sokongan bersama akan membawa kemajuan kepada semua, BWN Coffee Convention kekal komited dalam memperkasakan kerjasama komuniti, meningkatkan standard industri, serta menyediakan peluang ekonomi yang mampan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.