gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Komanwel Ke-12 (12CSMM)

 

Sumber : Siaran Media  dan Foto KKBS 

 

GLASGOW, SCOTLAND, UNITED KINGDOM, 23 Julai 2026 – Negara Brunei Darussalam menegaskan semula komitmennya untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang sukan serta mempromosikan sukan sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih sihat, inklusif, pemerkasaan belia dan pembangunan mampan melalui penyertaannya dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Komanwel Ke-12 (12th Commonwealth Sports Ministers Meeting – 12CSMM). Delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Komanwel Ke-12 (12CSMM) telah diketuai oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Mesyuarat tersebut telah berlangsung pada 21 hingga 22 Julai 2026 di Glasgow, Scotland, United Kingdom.

 

Mesyuarat yang dihoskan oleh Kerajaan Scotland di bawah tema “Reimagining the Power of Sport: Creating Healthier, Fairer, and Connected Commonwealth Communities” telah dipengerusikan oleh Puan Yang Terutama Maree Todd MSP, Menteri Kesihatan Mental, Kesihatan Awam, Sukan, Alkohol dan Dadah, Kerajaan Scotland dan dihadiri oleh Menteri-Menteri Sukan, pegawai-pegawai kanan serta wakil-wakil daripada 56 buah negara anggota Komanwel. Mesyuarat tersebut menjadi platform bagi negara-negara anggota bertukar pandangan mengenai pemerkasaan peranan sukan dalam menyokong pembangunan mampan, menggalakkan keterangkuman sosial serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara-negara Komanwel.

 

Sebelum berlangsungnya mesyuarat tersebut, pada 21 Julai 2026, Yang Berhormat Menteri telah menyertai lawatan ke Commonwealth Sport Gather, Adjust, Prepare and Sustain (GAPS) Camp yang dianjurkan oleh Commonwealth Sport dengan kerjasama Sekretariat Komanwel dan Kerajaan Scotland di University of the West of Scotland. Program tersebut menyediakan memberikan peluang kepada para Menteri dan Ketua-Ketua Delegasi bertukar-tukar pandangan serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara-negara Komanwel dalam mempromosikan pembangunan sukan yang inklusif dan mampan.

 

Turut menyertai delegasi Negara Brunei Darussalam ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.