​​Setiausaha Tetap​ (Kemasyarakatan)


​​

Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari

Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari memulakan kerjayanya di perkhidmatan awam Brunei Darussalam pada tahun 2002, di Bahagian Perhubungan Antarabangsa dan Perkembangan Perdagangan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama. Pada tahun 2005, Bahagian ini dipindahkan ke Kementerian Luar Negeri dan Dayang Hajah Nor Ashikin ditugaskan ke Jabatan Perdagangan Antarabangsa dan dilantik sebagai Pemangku Pengarah pada tahun 2013. Pada tahun 2017, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan), Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan Negara Brunei Darussalam. Pada Oktober 2020, beliau dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Kemasyarakat dan Kebudayaan), di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Dayah Hajah Nor Ashikin memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari United Kingdom. Dengan latar belakang ini, 15 tahun pertama kerjaya beliau telah memfokuskan kepada perundingan perjanjian perdagangan bebas dua hala, serantau dan multilateral untuk Negara Brunei Darussalam, termasuk Trans Pacific Partnership (TPP) dan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP). Setelah mengembangkan portfolio khusus dalam merundingkan perjanjian pelaburan, beliau juga dilantik untuk mengetuai rundingan perdagangan dan pelaburan bagi pihak ASEAN, yang melibatkan perjanjian perdagangan dengan Jepun, Australia dan New Zealand. Beliau telah diundang untuk mengadakan latihan dan bengkel oleh negara lain, dan juga berkongsi pengalaman sebagai perunding perjanjian pelaburan. Hajah Nor Ashikin telah menghadiri beberapa program latihan mengenai penyelesaian pertikaian (dispute resolution) dan timbang tara pelabur (investor state arbitration), termasuk di International Law Institute dan Georgetown University, Washington D.C., Amerika Syarikat.
Bidang tugas Dayang Hajah Nor Ashikin di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah bertanggungjawab untuk menyelaras dan mengurus hal ehwal kemasyarakatan yang memberi tumpuan kepada isu-isu sosial di Negara Brunei Darussalam, di samping hal ehwal antarabangsa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan . Pihak berkepentingan utama adalah wanita, kanak-kanak, orang tua, orang kelainan upaya dan mereka yang memerlukan bantuan kebajikan, terutamanya melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial. Di samping itu, sewaktu Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN 2021, Hajah Nor Ashikin juga merupakan Pengerusi bagi Mesyuarat Ketua Pegawai Kanan untuk Tunggak Komuniti Sosio-Budaya ASEAN yang merupakan salah satu dari 3 Tunggak Komuniti ASEAN, dan mengawasi kerja enam belas (16) kumpulan sektoral yang merangkumi pelbagai isu. Pada masa yang sama, Beliau juga Pegawai Kanan Negara Brunei Darussalam untuk jawatankuasa ASEAN mengenai wanita, kesejahteraan sosial dan pembangunan, budaya dan seni, dan pembasmian kemiskinan.
Di atas pencapaian dan sumbangannya hingga kini, Dayang Hajah Nor Ashikin telah dianugerahkan dengan Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) dan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (PSB) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.