Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Upacara Selamat Belayar Rombongan Ketiga Kontinjen Negara Brunei Darussalam Ke Sukan Malaysia Xxii, Selangor 2026
Sumber : Siaran Media JBS
Foto : Md Adi Muadz – JBS
BERAKAS, Rabu, 28 Safar 1448 / 12 Ogos 2026. – Seramai 30 orang ahli Kontinjen Negara Brunei Darussalam terdiri daripada 13 orang atlet sukan Pencak Silat dan 4 orang atlet sukan Taekwondo, serta 13 orang pegawai kontinjen termasuk Chef de Mission, Pegawai Urus Setia, Pegawai Perubatan, Pengurus dan Jurulatih telah berlepas bagi menyertai kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII, Selangor 2026.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan seterusnya memberikan ucapan nasihat dan kata-kata motivasi ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ialah wakil-wakil daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Puan Masliza Mahamood, Menteri (Penerangan) dan Yang Mulia Kolonel Haji Nor Azizi bin Abdullah, Penasihat Pertahanan; pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan; wakil-wakil Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam dan Persatuan Taekwondo Brunei Darussalam; serta keluarga atlet.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan nasihat dan kata-kata motivasi kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Atlet-atlet Pencak Silat negara akan mula bertanding pada 14 Ogos 2026 bertempat di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi acara Kategori Putera Silat Tanding – Tanding Kelas A 45-50kg, Tanding Kelas B 50-55kg, Tanding Kelas C 55-60kg, Tanding Kelas D 60-65kg, Tanding Kelas E 65-70kg, Tanding Kelas F 70-75kg dan Tanding Kelas G 75-80kg; Kategori Puteri Silat Tanding – Tanding Kelas A 40-45kg dan Tanding Kelas B 50-55kg; Kategori Putera Silat Seni – Tunggal Putera; dan Kategori Puteri Silat Seni – Tunggal Puteri dan Regu Puteri.
Manakala atlet sukan Taekwondo negara akan mula bertanding juga pada 14 Ogos 2026 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dalam acara Kategori Lelaki Kyorugi – Tidak melebihi 58kg dan 63kg dan melebihi 87kg; dan Kategori Wanita Kyoguri – Tidak melebihi 53kg.
Rombongan keempat akan bertolak ke Selangor, Malaysia pada hari Khamis, 13 Ogos 2026.