gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

The Brunei Half Marathon 2026

 

Sumber : Siaran Media The Brunei Half Marathon

Foto : Muhd Azinuddin – KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOVEMBER 2026 – Brunei Half Marathon 2026 kembali dianjurkan bagi edisi keduanya pada hujung minggu lalu, menghimpunkan para pelari, peminat kecergasan serta masyarakat umum dalam sambutan sukan, kesihatan dan gaya hidup aktif selama dua hari di mercu tanda ikonik Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS).

Dikuasakan oleh Arrowtech Sports dan Royal Brunei Airlines (RB), acara tersebut berlangsung pada 21 dan 22 November 2026 dengan menampilkan tiga kategori larian yang direka bagi memenuhi penyertaan pelari daripada pelbagai tahap kecergasan dan keupayaan. Acara ini terus mengukuhkan landskap sukan dan rekreasi yang semakin berkembang di Negara Brunei Darussalam, di samping mengetengahkan salah satu mercu tanda infrastruktur paling menonjol di negara ini.

Edisi tahun ini berjaya menarik kira-kira 2,600 peserta, termasuk 167 peserta antarabangsa yang mewakili 26 buah negara. Penyertaan tersebut menyerlahkan daya tarikan acara ini yang semakin meningkat di luar Negara Brunei Darussalam serta potensinya untuk menarik komuniti sukan serantau dan antarabangsa.

Penyertaan para pelari antarabangsa turut memberi peluang kepada mereka untuk menikmati layanan mesra rakyat Brunei, mengunjungi mercu tanda negara dan merasai suasana tempatan, sekali gus menyumbang kepada aspirasi pelancongan negara dan objektif nasional sempena Visit Brunei 2027.

Tiga Kategori Larian Merentasi Mercu Tanda Ikonik

Acara ini menampilkan tiga kategori larian sepanjang hujung minggu tersebut, dimulakan dengan kategori utama Half Marathon 21.1 kilometer (KM) yang dibawakan oleh BYD Brunei pada Sabtu, 21 November, diikuti dengan Larian 5KM dan Larian 10KM pada Ahad, 22 November.

Half Marathon 21.1KM bermula pada pukul 10.00 malam pada hari Sabtu, membawa para pelari merentasi Jambatan SHOAS di bawah langit malam dengan had masa perlumbaan selama empat jam. Kategori ini menawarkan cabaran kompetitif kepada pelari jarak jauh yang berpengalaman, disokong oleh petak permulaan khas serta pacer rasmi yang membantu peserta mencapai sasaran masa penamat masing-masing.

Keesokan paginya, Larian 5KM dilepaskan pada pukul 6.25 pagi, menawarkan jarak yang lebih mudah diakses oleh pelari rekreasi dan individu yang ingin mengamalkan gaya hidup aktif. Sementara itu, Larian 10KM yang dibawakan oleh Borneo Bulletin bermula pada pukul 6.45 pagi, menyediakan cabaran yang lebih kompetitif bagi peserta yang ingin menguji keupayaan larian mereka.

Kedua-dua kategori larian pada waktu pagi berlangsung dengan latar belakang Jambatan SHOAS, memberikan peluang kepada para peserta menikmati pemandangan sekeliling ketika cahaya pagi mula menyinari kawasan tersebut. Kategori 5KM mempunyai had masa selama satu jam, manakala kategori 10KM mempunyai had masa selama dua jam.

Pengurusan perlumbaan turut merangkumi penyediaan stesen hidrasi, sokongan di sepanjang laluan, pacer rasmi serta sistem pemasaan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan peserta sepanjang perlumbaan.

Acara ini juga menerima sokongan padu daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan kehadiran beberapa Ahli Kabinet sepanjang hujung minggu acara berkenaan serta penyertaan mereka dalam upacara pelepasan peserta dan penyampaian pingat bagi ketiga-tiga kategori.

Antara yang hadir pada malam Sabtu ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; serta Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Kategori Half Marathon 21.1KM telah disempurnakan pelepasannya oleh para menteri yang hadir, yang turut menyertai penyampaian pingat kepada para pemenang.

Bagi kategori larian pada waktu pagi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menyempurnakan pelepasan Larian 10KM serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang podium. Sementara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos menyempurnakan pelepasan Larian 5KM. Mereka turut menyertai penyampaian pingat bagi kategori Half Marathon 21.1KM.

Mengiktiraf Kecemerlangan dan Pencapaian Sukan

Salah satu sorotan utama acara ialah penyampaian hadiah wang tunai yang ditaja oleh AIA Brunei serta anugerah bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang peserta dalam pelbagai kategori perlumbaan.

Bagi kategori Half Marathon 21.1KM yang dibawakan oleh BYD Brunei, hadiah diberikan dalam kategori Terbuka, Terbuka Tempatan dan Master Tempatan bagi peserta lelaki dan wanita. Tiga peserta teratas bagi kategori Terbuka dan Terbuka Tempatan layak menerima hadiah wang tunai berjumlah BND3,000, BND1,800 dan BND900 masing-masing, manakala kategori Master Tempatan turut mengiktiraf lima pelari terbaik.

Selain hadiah wang tunai, tiket penerbangan pergi balik kelas ekonomi tajaan Royal Brunei Airlines turut diberikan kepada pemenang kategori terpilih, termasuk peluang melancong ke destinasi seperti London, Melbourne dan Brunei sempena Brunei Marathon 2027 serta menjelang Tahun Melawat Brunei 2027.

Kategori 10KM yang dibawakan oleh Borneo Bulletin serta Larian 5KM turut menampilkan kategori Terbuka dan Master bagi peserta lelaki dan wanita, dengan hadiah wang tunai diberikan kepada tiga pemenang teratas.

Juara bagi kategori-kategori tersebut juga layak menerima tiket penerbangan pergi balik kelas ekonomi Royal Brunei Airlines ke destinasi terpilih seperti Chennai, Beijing, Saigon dan Balikpapan, tertakluk kepada kategori dan kelayakan peserta.

Penyampaian hadiah bukan sahaja meraikan kejayaan para pemenang utama, malah turut menghargai dedikasi, disiplin dan keazaman yang dipamerkan oleh semua peserta sepanjang pertandingan.

Mempromosikan Gaya Hidup Aktif dan Aspirasi Sukan Negara

Di samping aspek persaingan, Brunei Half Marathon 2026 terus berperanan sebagai platform untuk menggalakkan kecergasan fizikal, penyertaan komuniti dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat usia.

Acara ini juga menghimpunkan organisasi korporat, penaja, rakan strategik, sukarelawan serta masyarakat umum, sekali gus memperlihatkan kepentingan kerjasama dalam membangunkan acara sukan dan mewujudkan pengalaman yang bermakna kepada orang ramai.

Sebagai salah satu acara sukan tahunan yang semakin berkembang di Negara Brunei Darussalam, Brunei Half Marathon terus menyumbang ke arah mengangkat Brunei sebagai destinasi pelancongan sukan yang berdaya tarikan, di samping memberikan peluang kepada peserta tempatan dan antarabangsa untuk mengenali Negara Brunei Darussalam melalui sukan.

Dengan kejayaan penganjuran edisi keduanya, Brunei Half Marathon 2026 sekali lagi menegaskan komitmennya dalam menyatukan masyarakat melalui aktiviti larian, meraikan pencapaian peribadi serta menginspirasikan lebih ramai individu untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat.

Kesemua hadiah telah disampaikan sejurus tamat setiap kategori perlumbaan, manakala senarai pemenang podium adalah seperti berikut:

Senarai Pemenang