Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Sub Heading
Program Cabaran Larian Sejarah Brunei 2026
Sumber : Siaran Media PSB
Foto : Muhd Azinuddin – KKBS, Mastinah – PSB
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Jamadilawal 1448 / 1 November 2026 – Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Syarikat RYS Entertainment, DinkinLobsters Pickleball Club dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah menganjurkan Program Cabaran Larian Sejarah Brunei 2026 (Brunei History Race Challenge 2026). Program berlangsung di Pusat Sejarah Brunei, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan pelepasan larian ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir, Yang Mulia Datin Hajah Mahayon binti Haji Mohd Taha, isteri Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Program Cabaran Larian Sejarah Brunei merupakan salah satu projek utama Pusat Sejarah Brunei yang dianjurkan setiap dua tahun sekali dan pada tahun ini memasuki penganjuran kali keempat.
Mengangkat konsep knowledge, healthy lifestyle and fun, program ini mula diperkenalkan pada tahun 2019 sempena pengiktirafan Bandar Seri Begawan sebagai Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi Rantau Asia 2019. Program ini turut menerima Anugerah Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO) pada 17 Disember 2019 di Tunisia.
Program ini bertujuan untuk melestarikan sejarah, warisan dan seni bina Islam di Bandar Seri Begawan, meningkatkan kesedaran generasi muda tentang kepentingan sejarah tanah air, mendukung konsep Melayu Islam Beraja (MIB) serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui sukan dan riadah.
Dengan bertemakan “Belajar Sejarah Inspirasi Masa Depan” program kali ini disertai oleh 147 pasukan dengan jumlah keseluruhan peserta sebanyak 441 orang, iaitu setiap pasukan dianggotai seramai tiga (3) peserta. Format cabaran larian berkonsepkan Amazing Race yang mengandungi soalan pembayang dan halangan yang menumpukan kepada monumen dan tapak besejarah yang terdapat di Bandar Seri Begawan. Kumpulan yang mengumpul markah tertinggi akan dikira sebagai pemenang.
Pasukan nombor bib CLSB 004 dianggotai oleh Awang Mohd Ariffin bin Ali Hashim, Awang Mohd Asri bin Ali Hashim dan Awang Mohd Hasrimi bin Ali Hashim muncul Juara dengan kutipan 40 markah dan catatan masa 1:56:29. Juara menerima hadiah wang tunai BND1,000.00.
Sementara Tempat Kedua ialah pasukan nombor bib CLSB 087 dianggotai oleh Awang Helmi bin Haji Mohd Imran, Awang Ruslani bin Haji Mohd Imran dan Awang Muhammad Aryan Rizqin bin Ruslani dengan markah terkumpul sebanyak 40 markah dan catatan masa 1:58:06. Tempat Kedua membawa pulang hadiah wang tunai BND700.00.
Manakala Tempat Ketiga disandang oleh pasukan nombor bib CLSB 125 terdiri daripada Awang Ahmad Alween Mazanan, Awang Firdaus bin Mohammad Azizi dan Awang Muhamad Nur Abadi bin Mohd Nizam dengan 40 markah dan catatan masa 1:59:02. Tempat Ketiga menerima hadiah wang tunai BND500.00.
Program Cabaran Larian Sejarah Brunei 2026 turut diselajurkan dengan Hari Terbuka Pusat Sejarah
Brunei 2026 yang berlangsung selama tiga hari, bermula Jumaat, 30 Oktober hingga Ahad, 1 November 2026. Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan untuk kunjungan dan penyertaan orang ramai, antaranya seperti pertandingan pickleball Nakhoda Awang, pameran, e-sukan, persembahan nyanyian serta gerai jualan makanan dan minuman.
