gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Persidangan Keluarga Asia 2026 dan Sesi Lawatan Kerja Rasmi

 

Sumber : Siaran Media dan Foto KKBS

 

REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 10 Jamadilakhir 1448 / 20 November 2026 – Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, telah menamatkan lawatan kerja rasmi ke Republik Singapura dari 16 hingga 20 November 2026. Sepanjang lawatan tersebut, Yang Berhormat mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Persidangan Keluarga Asia 2026 serta mengadakan beberapa sesi libat urus dua hala dan lawatan institusi yang bertujuan mengukuhkan kerjasama serta bertukar amalan terbaik dalam pembangunan keluarga, pemerkasaan belia, sukan dan keterangkuman sosial.

Persidangan Keluarga Asia 2026 yang berlangsung dari 17 hingga 18 November 2026 dengan tema Empowering Families, Thriving Children (Memperkasa Keluarga, Mensejahterakan Kanak-Kanak) dianjurkan bersama oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura serta Universiti Sains Sosial Singapura. Persidangan tersebut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Ong Ye Kung, Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial dan Menteri Kesihatan Republik Singapura, selaku Tetamu Kehormat. Persidangan itu menghimpunkan lebih 500 penggubal dasar, penyelidik dan pengamal dari seluruh rantau bagi berkongsi pandangan serta meneroka pendekatan kerjasama dalam memperkukuh daya tahan keluarga dan kesejahteraan kanak-kanak.

Semasa persidangan berkenaan, Yang Berhormat diraikan oleh Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Republik Singapura. Persidangan tersebut turut menyaksikan pelancaran laporan sulung State of ASEAN Families Report 2026 oleh Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli, yang mengetengahkan trend perubahan institusi keluarga di seluruh ASEAN serta menekankan kepentingan dasar berasaskan bukti dan kerjasama serantau dalam memperkukuh daya tahan keluarga.

Yang Berhormat turut mengambil bahagian sebagai ahli panel dalam Sesi Plenari bertajuk “Pendekatan Nasional dalam Memperkukuh Kanak-Kanak dan Keluarga”, bersama Tuan Yang Terutama Mahinur Özdemir Göktaş, Menteri Keluarga dan Perkhidmatan Sosial Republik Türkiye. Encik Esa Masood, Timbalan Setiausaha (Keluarga dan Rakan Strategik), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Republik Singapura, bertindak sebagai moderator bagi sesi tersebut.

Dalam sesi berkenaan, Yang Berhormat mengetengahkan usaha Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh institusi keluarga sebagai sebahagian daripada sokongan kepada Wawasan Brunei 2035, berpandukan Pelan Tindakan Sosial Kebangsaan. Yang Berhormat turut menjelaskan Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025–2029 yang berteraskan nilai-nilai keluarga “SaTu HaraPan”, iaitu Kasih Sayang, Tanggungjawab, Hormat-Menghormati dan Prihatin. Yang Berhormat juga menegaskan kepentingan melindungi kesejahteraan kanak-kanak serta memperkasa keluarga yang rentan melalui rangka kerja perlindungan kanak-kanak, Sistem Kebajikan Negara (SKN), bantuan sosial yang disasarkan dan inisiatif pembangunan kemahiran. Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh daya tahan keluarga serta membentuk sebuah masyarakat inklusif yang tidak meninggalkan sesiapa di belakang.

Pada 17 November 2026, Yang Berhormat telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Tuan Yang Terutama David Neo, Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Republik Singapura, di Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura. Kedua-dua Menteri menegaskan semula hubungan dua hala yang erat dan sekian lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, serta bertukar pandangan mengenai peluang untuk memperkukuh kerjasama, khususnya dalam pembangunan belia, sains sukan dan bidang-bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.

Susulan mesyuarat tersebut, Yang Berhormat telah mengadakan lawatan ke Sport Singapore dan The Kallang, di mana delegasi telah diberikan taklimat mengenai pendekatan Singapura dalam pembangunan sukan komuniti dan sukan berprestasi tinggi, pengenalpastian bakat serta laluan pembangunan atlet. Lawatan itu turut merangkumi kunjungan ke Institut Sukan Berprestasi Tinggi (High Performance Sport Institute – HPSI) dan Stadium Nasional Singapura, yang memberikan pendedahan mengenai penggunaan sains sukan, perubatan sukan dan biomekanik dalam menyokong prestasi serta pembangunan atlet. Sesi-sesi tersebut memberikan perspektif yang bernilai dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan sukan Negara Brunei Darussalam dan kecemerlangan sukan jangka panjang.

Pada 19 November 2026, Yang Berhormat telah mengadakan lawatan kerja ke Our Tampines Hub atas jemputan Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Republik Singapura. Lawatan tersebut memberikan gambaran mengenai pendekatan bersepadu Singapura dalam pembangunan komuniti melalui penyediaan perkhidmatan sukan, rekreasi, kebudayaan dan sosial dalam satu ruang komuniti yang sama, disokong oleh perancangan yang tersusun, penyelarasan antara agensi dan tadbir urus yang berkesan.

Yang Berhormat juga telah melawat Enabling Village, di mana delegasi memperoleh maklumat mengenai pelbagai inisiatif yang menggalakkan keterangkuman golongan orang kelainan upaya, kebolehcapaian, pembangunan kemahiran dan sokongan pekerjaan untuk individu berkeperluan khas. Kedua-dua lawatan tersebut memberikan pandangan yang bermanfaat mengenai penyampaian perkhidmatan bersepadu dan pembangunan komuniti inklusif, yang boleh dijadikan rujukan dalam pembangunan dan penambahbaikan inisiatif berkaitan di Negara Brunei Darussalam.

Lawatan kerja rasmi ini sekali lagi mengesahkan hubungan dua hala yang rapat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura serta menonjolkan peluang untuk meneruskan kerjasama dan perkongsian pengetahuan dalam memperkukuh daya tahan keluarga, pembangunan belia, kecemerlangan sukan dan keterangkuman sosial.

Yang Berhormat telah diiringi oleh Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, serta pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan.